#STILLRED: Amri Yahyah Terus Bersama Selangor

#STILLRED: Amri Yahyah Terus Bersama Selangor

Amri Yahyah satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi.

Anak jati Selangor ini juga merupakan sebahagian daripada pemain yang akan terus kekal bersama Gergasi Merah bagi musim hadapan.

Nama Amri Yahyah kini sudah terpahat di dalam sejarah bola sepak Selangor sebagai salah seorang legenda yang mempunyai rekod penampilan terbanyak buat pasukan ini dengan lebih 400 penampilan. Dengan rekod penampilan ini, Amri juga telah menjaringkan lebih 100 gol buat skuad Merah Kuning.

Meskipun kini sudah berusia 37 tahun, Amri masih tangkas dan masih lagi merupakan antara pemain yang terpantas di atas padang. Ketika ditanya, Amri menyatakan hasrat beliau untuk terus kekal bermain sehingga umur 40 tahun jika diizinkan dan sempat menasihati pemain-pemain muda yang lain untuk mengambil berat tentang kualiti hidup dari segi penjagaan makanan dan latihan yang konsisten untuk mempunyai karier yang lebih panjang.

Sudah semestinya, dengan pengalaman yang dimiliki oleh Amri yang tiada tolok bandingannya ini, diharap akan dapat membantu menjadi inspirasi dan contoh kepada pemain-pemain muda yang sedang meningkat naik di dalam pasukan utama Selangor.

Sepanjang karier beliau bersama FA Selangor, Amri telah membantu pasukan ini menjulangi banyak trofi dan kejuaraan. Antaranya, Piala Sumbangsih 2002, 2009, 2010, Liga Super 2009, 2010, Liga Perdana 2005, Piala Malaysia 2002, 2005, dan Piala FA 2001, 2005 dan 2009.

Sumbangan Amri Yahyah terhadap skuad kebangsaan juga tidak dapat dinafikan, telah banyak mengharumkan nama negara kita dengan gol-gol cantik yang dijaringkan beliau yang masih dimainkan sehingga hari ini.

Kita berharap dengan pengalaman dan kepercayaan yang diberi, Amri akan dapat membantu menjadi penggerak utama bahagian serangan skuad Selangor, mengoyakkan pertahanan pasukan lawan sambil menjadi contoh kepada pemain-pemain muda yang lain di dalam dan di luar padang.

Amri Yahyah, #StillRed