#STILLRED: Khairulazhan & Tamil Maran Kekal Red Giants.

#STILLRED: Khairulazhan & Tamil Maran Kekal Red Giants.

Pihak pengurusan dan barisan kepimpinan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) telah melanjutkan kontrak beberapa pemain yang dilihat mampu membawa impak positif bagi pasukan Red Giants untuk musim 2020.

————————————————————————

Penjaga gol utama pasukan, Khairulazhan Khalid dan pemain pertahanan, Tamil Maran telah dikekalkan bersama skuad Red Giants untuk musim 2020.

Khairulazhan atau Yan telah membuat sebanyak 22 kali penampilan bersama pasukan Selangor untuk musim 2019.

Untuk musim ini, beliau telah mempamerkan prestasi terbaiknya untuk Selangor dalam saingan Piala Malaysia 2019 dan berjaya membawa Red Giants ke pentas separuh akhir.

Berdasarkan prestasinya yang kian meningkat, Yan telah kembali berlatih bersama skuad Harimau Malaya untuk Kelayakan Fifa Piala Dunia Qatar 2022 & AFC Piala Asia China 2023.

Lebih positif, Yan turut diberi kepercayaan oleh pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sebagai penjaga gol utama dan telah beraksi dengan baik serta memperoleh ‘clean sheet’ semasa menentang Tajikistan dalam Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 baru-baru ini.

Manakala Tamil Maran pula merupakan pemain muda pasukan Selangor yang telah bersama membantu skuad Piala Presiden Selangor menjuarai Piala Presiden 2017.

Tamil juga pernah beraksi bersama skuad senior Selangor sebanyak empat kali pada tahun 2018 dalam saingan Liga Super.

Untuk musim 2019, beliau telah beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan dan telah memikat hati pihak pengurusan serta barisan kepimpinan Persatuan Bolasepak Selangor untuk terus mengekalkan beliau untuk musim hadapan.

FA Selangor berharap dengan kepercayaan yang diberikan kepada Khairulazhan dan Tamil Maran, mereka mampu memberikan nafas yang segar di benteng pertahanan dan gawang gol Selangor pada musim 2020.

Khairulazhan & Tamil Maran, #StillRED