#STILLRED: Syahmi Safari & Haziq Ridwan Kekal Red Giants.

#STILLRED: Syahmi Safari & Haziq Ridwan Kekal Red Giants.

Pihak pengurusan dan barisan kepimpinan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) telah mengekalkan kontrak beberapa pemain yang dilihat mampu membawa impak positif bagi pasukan Red Giants untuk musiim 202.

————————————————————————

Kedua-dua anak jati Selangor, pemain pertahanan, Syahmi Safari dan penjaga gol, Haziq Ridwan terus kekal bersama pasukan Gergasi Merah untuk musim 2020.

Syahmi merupakan pemain muda yang datang dari sistem bola sepak Sekolah Sukan Bukit Jalil, pernah mewakili Harimau Muda C sebelum dipanggil menyertai skuad Belia Selangor.

Prestasi cemerlang Syahmi telah mendapat perhatian ketua jurulatih pasukan utama Red Giants pada musim itu iaitu P. Maniam. Beliau kemudian diserap ke skuad senior dan diberikan kontrak jangka masa panjang bersama Selangor.

Pemain pertahanan kanan ini telah membuat penampilan sebanyak 28 kali serta menjaringkan tiga gol dan empat ‘assist’ bersama pasukan Selangor untuk musim ini.

Selain itu, beliau turut tersenarai dalam Best XI AFF Suzuki Cup 2018 dan dinobatkan sebagai pemenang gol terbaik di AFF Awards baru-baru ini.

Kebolehan Syahmi dapat dilihat sewaktu beliau beraksi cemerlang bersama pasukan negara di pentas kejohanan AFF Suzuki 2018.

Syahmi kini dilihat sebagai salah seorang pemain muda pertahanan kanan terbaik negara dan turut dilabel sebagai salah seorang aset terbesar yang dimiliki oleh pasukan Harimau Malaya.

Oleh disebabkan itu, Syahmi merupakan pemain termahal Selangor selepas FAS meletakkan harga RM6 juta untuk klausa pelepasan beliau.

Sementara itu, seorang lagi pemain muda yang masih mempunyai baki kontrak bersama Selangor, Haziq Ridwan akan turut kekal bersama pasukan Red Giants bagi saingan musim 2020.

Beliau telah bersama pasukan Selangor sejak berumur 17 tahun dan pernah diberikan tanggungjawab sebagai kapten pasukan Piala Presiden Selangor pada tahun 2017.

Dengan kepimpinan beliau dan corak permainan yang baik oleh rakan sepasukan, Selangor telah mengakhiri penantian sembilan tahun apabila berjaya menjulang takhta juara Piala Presiden pada musim tersebut.

Prestasi yang sangat memberangsangkan oleh Haziq bersama pasukan Selangor bawah 21 tahun itu telah membuka peluang kepada beliau diserap masuk ke pasukan utama Selangor pada musim 2018 dan sehingga kini sebagai penjaga gol ke-3 pasukan.

FA Selangor berharap dengan kepercayaan yang diberikan kepada kedua pemain muda Selangor ini mampu memberikan cabaran kepada pasukan lawan bagi musim 2020.

Syahmi Safari & Haziq Ridwan, #StillRED