#STILLRED: Syahmi Safari Tetap Merah Kuning

#STILLRED: Syahmi Safari Tetap Merah Kuning

Sebagai seorang pemain yang sedang meningkat naik, kebolehan Syahmi dapat dilihat jelas melalui aksi cemerlang buat pasukan negara yang beliau pamerkan di kejohanan AFF Suzuki 2018. Syahmi sememangnya salah satu senjata utama pasukan dan ini memang tidak dapat dinafikan lagi.

Baru-baru ini, pemain versatile ini juga telah tersenarai antara Best XI peringkat kumpulan kejohanan tersebut dalam senarai yang dikeluarkan oleh FOX Sports Asia.

Anak jati Selangor yang berusia 20 tahun ini telah banyak beraksi untuk skuad kebangsaan sepanjang karier bola sepak beliau. Syahmi yang datang dari sistem bola sepak Sekolah Sukan Bukit Jalil, pernah mewakili Harimau Muda C sebelum bersama dengan skuad B19 Selangor. Beliau pernah bermain untuk skuad B19, B23 kebangsaaan dan kini bersama dengan skuad utama Harimau Malaya.

Syahmi yang merupakan tunggak utama skuad Piala Presiden telah tampil dalam 46 perlawanan untuk skuad Piala Presiden dan menjaringkan 2 gol. Sumbangan Syahmi yang konsisten sepanjang kejohanan itu telah membantu Selangor menjuarai kejohanan tersebut pada tahun 2017.

Persembahan Syahmi yang sangat baik telah mendapat perhatian ketua jurulatih pada masa itu iaitu P. Maniam. Syahmi kemudian diserap ke skuad utama Selangor dan membuat debut pada perlawanan Selangor bertemu Pulau Pinang yang berkesudahan dengan keputusan memihak kepada Selangor 2 – 0.

Hingga hari ini, Syahmi telah tampil sebanyak 47 kali untuk skuad utama Selangor dan telah menjaringkan 10 gol sejak musim 2017.

Kita yakin dengan kepercayaan ini, Syahmi akan terus menjadi senjata utama yang bakal membuatkan Selangor digeruni oleh mana-mana pihak lawan.

Syahmi Safari, #StillRed