#STILLRED: Syazwan Zainon & K. Sarkunan Kekal Red Giants.

#STILLRED: Syazwan Zainon & K. Sarkunan Kekal Red Giants.

Pihak pengurusan dan barisan kepimpinan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) telah melanjut dan mengekalkan kontrak beberapa pemain yang dilihat mampu membawa impak positif bagi pasukan Red Giants untuk musim 2020.

————————————————————————

Pemain sayap, Syazwan Zainon dan pemain tengah, Sarkunan Krishnansamy terus kekal bersama pasukan Gergasi Merah untuk musim 2020.

Syazwan Zainon atau Wan Karpet merupakan seorang anak Perlis yang mengukir nama dan karier dalam bola sepak Malaysia semasa bersama pasukan Kedah selama 6 tahun.

Pemain sayap berpengalaman ini telah membuat penampilan sebanyak 25 kali bersama pasukan Selangor untuk musim ini.

Pemain yang berkebolehan menggunakan kedua-dua belah kakinya ini sering memberikan kualiti serangan yang baik.

Untuk rekod, Wan Karpet merupakan satu-satunya pemain yang telah membuat jaringan dalam ketiga-tiga saingan (Liga Super, Piala FA & Piala Malaysia) tahun ini.

Beliau telah meledakkan empat gol serta enam ‘assist’ untuk musim pertamanya bersama skuad Red Giants.

Kehadiran Wan Karpet telah menambahkan kreativiti bagi jentera serangan skuad Selangor. Beliau juga merupakan salah seorang penyeri pasukan dan sentiasa positif sama ada di dalam dan di luar padang.

Sementara itu, pemain muda yang meningkat naik pada musim ini, K.Sarkunan turut kekal bersama pasukan Red Giants bagi saingan musim 2020 kerana masih mempunyai baki kontrak bersama FA Selangor.

K.Sarkunan atau Sara memulakan karier bola sepak beliau bersama skuad Belia Selangor sebelum diserap masuk ke skuad utama pada Disember 2016.

Sara dikenali dengan ‘work rate’ yang tinggi di dalam padang dan peranan beliau mula disedari penyokong Merah Kuning ketika beraksi menentang Pahang di Stadium Darul Makmur musim ini.

Dengan corak permainan yang baik, pemain tengah ini telah berjaya membuat 26 penampilan serta merekod 1 ‘assist’ untuk musim 2019.

FA Selangor berharap dengan kepercayaan yang diberikan kepada Syazwan Zainon dan Sarkunan Krishnansamy, mereka mampu memberikan cabaran kepada pasukan lawan bagi musim 2020.

Syazwan Zainon & Sarkunan Krishnasamy, #StillRED