Syazwan Zainon Anggota Keluarga Terbaru Skuad Merah Kuning

Syazwan Zainon Anggota Keluarga Terbaru Skuad Merah Kuning

Suka citanya diumumkan bahawa Syazwan Zainon kini sah bergelar pemain Selangor untuk musim 2019.

Syazwan telah melengkapkan perpindahan dari Kedah FA dengan menandatangani kontrak untuk bersama Selangor.

Syazwan yang berasal dari Perlis, lahir pada 13 November 1989, kini berumur 28 tahun, merupakan seorang pemain sayap yang berpengalaman dan berprofil tinggi di Liga M.

Beliau memulakan karier bola sepak dari peringkat belia lagi di Sekolah Sukan Bukit Jalil, kemudian menyertai Belia Perlis, sebelum dipanggil mewakili Harimau Muda.

Pada tahun 2010, Syazwan menyertai Felda United dari pasukan negeri kelahirannya, sebelum berhijrah ke Johor FC pada tahun 2012.

Beliau kembali ke Felda United untuk musim 2013 sebelum menjadi tunjang kekuatan skuad Helang Merah selama beberapa musim – perpindahan yang telah banyak mengangkat karier bola sepak beliau.

Syazwan tampil dalam lebih 80 perlawanan bagi pasukan Kedah dan telah berjaya menjaringkan 9 gol. Beliau pernah bersama membantu pasukan Kedah memenangi Liga Premier pada tahun 2015, Piala Malaysia 2016, Piala Sumbangsih 2017 dan Piala FA 2017.

Sepanjang karier bola sepak beliau, Syazwan yang turut dikenali sebagai ‘Wan Karpet’ oleh penyokong Kedah, telah terpilih sebagai pemain skuad kebangsaan dan telah menjaringkan beberapa gol untuk skuad Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.

Syazwan Zainon kini sedang bersama skuad kebangsaan di Phnom Penh untuk persiapan terakhir sebelum perlawanan pertama Piala AFF Suzuki 2018 bertemu Kemboja esok.

Menurut pengurus pasukan Selangor FA, Datuk Abdul Rauf Bin Ahmad, kehadiran Syazwan Zainon adalah bukti komitmen persatuan untuk menguatkan barisan skuad Red Giants bagi musim hadapan kerana kebolehan beliau untuk menggunakan kedua-dua belah kaki selain mempunyai kualiti serangan dan pertahanan yang baik.

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengucapkan selamat datang kepada Syazwan Zainon ke Shah Alam dan semoga dapat membawa  Red Giants ke tahap yang lebih tinggi pada musim 2019!

Hantarkan ucapan alu-aluan anda semua kepada Syazwan di sosial media dengan menggunakan #SyazwanZainonIsRed.

Semoga berjaya di Phnom Penh, Syazwan!