TERAS PEMBANGUNAN FA SELANGOR: TERAS 3 (PEMBANGUNAN AKAR UMBI)

TERAS PEMBANGUNAN FA SELANGOR: TERAS 3 (PEMBANGUNAN AKAR UMBI)

Sewaktu Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah mengambil alih tampuk pimpinan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada tahun lalu, lima teras utama telah dikenalpasti dalam usaha untuk menjadikan FAS sebuah entiti yang lebih terkehadapan.

Lima teras tersebut adalah Infrastruktur dan Kemudahan, Pasukan Utama, Pembangunan Akar Umbi, Pengkomersialan dan yang terakhir adalah Tadbir Urus.

Untuk artikel kali ini, kami akan menerangkan kepada anda mengenai teras yang ketiga iaitu Pembangunan Akar Umbi.

Sebelum itu, untuk membaca artikel mengenai teras yang pertama (Infrastruktur Dan Fasiliti) anda boleh klik pautan ini: https://redgiants.faselangor.my/27189-2/

Manakala untuk teras kedua (Pemain Utama), anda boleh membacanya di pautan ini: https://redgiants.faselangor.my/teras-pembangunan-fa-selangor-teras-2-pasukan-utama/

Jikalau anda membaca artikel teras kedua mengenai pemain utama, ada disebutkan pepatah melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Bertepatan dengan maksud peribahasa di atas, FAS kini mula memfokuskan pembangunan akar umbi untuk memastikan Selangor sentiasa ada pelapis yang berkualiti agar masa depan bola sepak Selangor sentiasa cerah.

Pertamanya adalah sentiasa menyediakan kepakaran medikal yang terbaik untuk sesi pemulihan sekiranya pemain muda Selangor dilanda kecederaan.

Avisena Specialist Hospital yang merupakan Rakan Perubatan Strategik FAS diberi kepercayaan untuk memberikan servis yang terbaik untuk pemain muda Selangor.

Penjagaan pemain muda ketika ini sangatlah penting kerana pada waktu inilah adalah fasa di mana mereka sedang di dalam proses pembesaran dan ianya perlu diberi perhatian.

FAS juga telah memperkenalkan pengenalan kontrak profesional kepada pemain skuad pembangunan.

Dengan perkara ini, pemain-pemain muda akan lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik bagi memastikan mereka layak untuk menandatangani kontrak profesional sekaligus menjadi pemain pasukan utama Selangor.

Selain itu, FAS telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) melalui penyerapan pusat-pusat Akademi Tunas (AT) dan Pusat Latihan Daerah (PLD) di dalam Selangor di bawah pengurusan FAS. Melalui kerjasama ini FAS akan memantau perkembangan para pemain NFDP Selangor, menyediakan peralatan dan khidmat nasihat dan menganjurkan pertandingan bola sepak untuk mereka bagi meningkatkan lagi kualiti pembangunan pemain muda Selangor. Kerjasama ini juga akan membolehkan FAS mempunyai data simpanan dan maklumat bagi pemain-pemain seawal umur 7 tahun hingga 17 tahun.

Tambahan pula, Sekolah Sukan Negeri Selangor (SSN) juga turut di angkat untuk menjadi Akademi Elit Bola Sepak FAS di mana bakat-bakat terbaik dari pusat-pusat AT dan PLD dari seluruh negeri Selangor akan ditempatkan di sini. Kerjasama yang mengeratkan lagi hubungan FAS dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) ini akan melibatkan pemantauan perkembangan para pemain dan jurulatih SSN, penyediaan peralatan dan penganjuran pertandingan bola sepak oleh FAS bagi membangunkan bakat-bakat terbaik di dalam Selangor.

FAS turut menjalinkan hubungan dengan University of Queensland, Australia di mana beberapa penyelidik bola sepak dari universiti tersebut telah hadir ke Pusat Latihan FAS untuk menganalisa dan menyelidik tahap prestasi pemain-pemain muda Selangor dari skuad bawah 21, bawah 19, bawah 17, bawah 14 dan bawah 11 selama 2 minggu. Berdasarkan hasil kajian dan penemuan mereka, mereka akan menyediakan sebuah modul pembangunan untuk memperbaiki kemahiran bola sepak para pemain muda FAS.

Perlu diingatkan, University of Queensland merupakan salah satu universiti yang tersenarai dalam 50 universiti terbaik di dunia.

Selangor juga bakal melancarkan satu liga yang memfokuskan pemain yang berumur 10 tahun hingga 16 tahun.

Liga yang dinamakan FAS Junior League ini bakal membuka tirainya pada September ini. Melalui kejohanan ini, Selangor mampu mencungkil bakat-bakat muda sekaligus menjadi pelapis untuk masa hadapan.

Juga perlu diingatkan juga FAS secara aktif menganjurkan Liga FAS, Piala FA serta Selangor Champions League (SCL) di mana ianya melibatkan hampir 4,260 pemain serta 630 perlawanan.

Ini adalah satu perkara yang perlu ditekankan kerana ianya membuktikan sukan bola sepak di Selangor berjalan secara aktif dan mampu untuk menambah lebih banyak lagi pemain yang berkualiti.

Penglibatan kaum wanita dalam bola sepak juga tidak dilupakan oleh FAS di mana pada tahun ini, pihak pengurusan memutuskan untuk menguatkan lagi pasukan bola sepak wanita Selangor yang bertanding di Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) serta pasukan futsal wanita bagi kejohanan Malaysia Premier Futsal League (MPFL).

Kita boleh lihat kedua-dua pasukan wanita ini kini lebih teratur dari segi pengurusan ianya mampu untuk menyuntik semangat kepada pemain.

Selain daripada program Corporate Social Responbility (CSR) di mana pemain pergi ke sekolah rendah sekitar Selangor untuk memupuk minat cintakan bola sepak Selangor, FAS juga turut melaksanakan program Latihan Penjaga Gol.

Berlangsung selama sehari pada awal bulan yang lalu menyaksikan penjaga gol utama Selangor, Farizal Harun, jurulatih skuad presiden serta belia iaitu Lim Chuan Chin serta Shuhaimi Abd Hamid berkongsi mengenai cara-cara menjadi penjaga gol kepada pemain yang berumur 10-15 tahun.

Ianya mendapat reaksi yang positif bukan sahaja daripada peserta mahupun ibu bapa, bahkan juga mendapat perhatian daripada netizen yang memuji inisiatif yang menarik daripada FAS ini.

Mungkin pada waktu ini, kita masih belum lagi dapat melihat hasil ataupun kelebihan melalui apa yang sedang FAS lakukan daripada aspek pembangunan akar umbi.

Namun percayalah, pada suatu hari nanti, ianya akan membuahkan hasil dan seluruh penyokong Red Giants akan menikmatinya.

INI HANYALAH PERMULAAN.