TERAS PEMBANGUNAN FA SELANGOR: TERAS 4 (PENGKOMERSIALAN)

TERAS PEMBANGUNAN FA SELANGOR: TERAS 4 (PENGKOMERSIALAN)

 

Sewaktu Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah mengambil alih tampuk pimpinan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada tahun lalu, lima teras utama telah dikenalpasti dalam usaha untuk menjadikan FAS sebuah entiti yang lebih terkehadapan.

Lima teras tersebut adalah Infrastruktur dan Kemudahan, Pasukan Utama, Pembangunan Akar Umbi, Pengkomersialan dan yang terakhir adalah Tadbir Urus.

Untuk artikel kali ini, kami akan menerangkan kepada anda mengenai teras yang keempat iaitu Pengkomersialan.

Sebelum itu, untuk membaca artikel mengenai teras yang pertama (Infrastruktur Dan Fasiliti) anda boleh klik pautan ini: https://redgiants.faselangor.my/27189-2/

Manakala untuk teras kedua (Pemain Utama), anda boleh membacanya di pautan ini: https://redgiants.faselangor.my/teras-pembangunan-fa-selangor-teras-2-pasukan-utama/

Bagi teras ketiga (Pembangunan Akar Umbi), klik pautan ini: https://redgiants.faselangor.my/teras-pembangunan-fa-selangor-teras-3-pembangunan-akar-umbi/

Dalam dunia bola sepak, dana yang berterusan amatlah penting bagi memastikan kestabilan sesebuah pasukan tersebut dan pengkomersialan adalah salah satu cara untuk meningkatkan dana.

Dana bukanlah sahaja diperlukan untuk membayar gaji pemain, malah perlu membayar gaji pekerja, bil utiliti, program-program pembangunan bola sepak, penambahbaikan infrastruktur dan banyak lagi.

Jadi amatlah penting untuk ianya diuruskan dan dijana dengan baik seiring dengan pembangunan pasukan.

Oleh itu, untuk meningkatkan lagi dana pasukan, FAS telah melakukan beberapa inisiatif baharu sepanjang tahun 2019.

Pertamanya pihak pemasaran FAS bertungkus lumus mencari penaja baru bagi musim ini untuk menampung perbelanjaan pasukan. Antara penaja dan rakan kongsi yang berjaya dibawa masuk untuk pasukan Selangor bagi musim ini termasuklah Vizione Holdings Berhad, MBI Selangor, JOMA, Kumpulan Syarikat Naza, ATF Sport Taping, Konsortium E-Mutiara, Emrail, WCT, PNSB, DOM Industries, ASIANA.MY, Northport, DIGI, Westports serta Universiti Teknologi Mara.

Bagi mengumpul data dan makluman mengenai penyokong Selangor, FAS juga telah memperkenalkan Red Giants Team Card, sebuah program ‘loyalty’ yang menawarkan pelbagai manfaat dan kemudahan kepada para pemegangnya yang berharga hanya RM 20 setahun. Antara kemudahan dan manfaat yang disediakan kepada para pemegang Red Giants Team Card termasuklah pemberian diskaun untuk setiap pembelian barangan rasmi FAS dan promosi yang lumayan dari rakan niaga yang terdiri daripada pelbagai restoran, kedai barangan sukan, permainan video, pakaian dan banyak lagi.

Para pemegang Red Giants Team Card juga turut diberi peluang untuk memberi pendapat secara terus dan terlibat dalam membuat beberapa keputusan penting bagi pihak pengurusan FAS melalui kaji selidik yang dijalankan atas talian. Sebagai contoh, pemegang-pemegang Red Giants Team Card telah diberi peluang untuk memberi pendapat dalam perancangan warna dan corak jersi pasukan bagi musim 2020.

Bagi musim pertama pengenalannya, seramai 10,000 orang telah mendaftar sebagai pemegang ahli Red Giants Team Card ini.

Seterusnya FAS juga memperkenalkan harga yang berpatutan dan mampu milik untuk jersi pasukan utama bagi memastikan ia dapat dimiliki oleh kesemua lapisan masyarakat Selangor.

Jersi pasukan Selangor ini terbahagi kepada dua versi iaitu “Player Issue” yang berharga RM 99 dan “Fan Issue” dengan harga yang lebih rendah iaitu RM 49. Jika dibandingkan dengan harga jualan jersi Selangor musim terdahulu dan juga pasukan yang lain, jersi pasukan Selangor bagi musim ini adalah di antara yang termurah disamping mempunyai kualiti yang tinggi. Dilaporkan hampir 40,000 helai jersi yang merangkumi jersi utama, jersi kedua dan jersi Edisi RMS telah terjual sejak diperkenalkan pada awal musim ini.

Di samping itu, FAS juga telah memperbaiki dan memperkenalkan sistem penjualan tiket perlawanan yang baharu bagi memudahkan penyokong untuk membuat pembelian tiket bagi perlawanan-perlawanan yang melibatkan Selangor

Cara pertama melihat FAS memperkenalkan sistem pembelian tiket melalui atas talian di mana ianya lebih memudahkan peminat untuk membeli dan tidak perlu beratur di kaunter stadium.

Kedua, peminat-peminat Selangor boleh membeli tiket perlawanan di aplikasi jual beli terbesar di Malaysia iaitu Shopee. Dalam aplikasi ini, peminat-peminat selalunya dapat menikmati promosi beli 1 percuma 1 tiket perlawanan daripada pihak Shopee.

Selain itu, Selangor juga merupakan pasukan yang pertama dalam memperkenalkan pencetakan tiket “on-the-spot”. Dengan cara ini, proses penjualan tiket menjadi lebih telus dan pembaziran daripada pencetakan tiket dapat dikurangkan.

Baru-baru ini, Selangor telah mengumumkan kemasukan Digi sebagai salah satu penaja pasukan. Melalui kerjasama ini, tiket perlawanan Selangor juga dijual di atas aplikasi telefon pintar, MyDigi.

Pihak Digi juga mengenalkan beberapa jenis promosi untuk perlawanan Selangor yang hanya boleh didapati secara eksklusif di aplikasi MyDigi.

Untuk menyelaraskan beberapa sistem penjualan tiket baru ini, pasukan Selangor menggunakan sistem tiket QR code.

Dengan penggunaan sistem QR code ini, peminat-peminat Selangor tidak perlu mencetak apa-apa tiket dan boleh masuk ke dalam stadium dengan hanya memaparkan QR code dari telefon bimbit kepada penyemak tiket.

Sistem QR code ini juga boleh mencegah pemalsuan tiket oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab kerana setiap QR code itu unik dan hanya boleh digunapakai sekali sahaja.

Selain itu, beberapa barangan rasmi FAS turut diperkenalkan dan dijual pada hari perlawanan serta di atas talian. Inisiatif ini bertujuan untuk memberi peluang kepada para penyokong untuk memiliki barangan-barangan rasmi FAS yang menarik dan berkualiti di samping membantu FAS untuk menambah dana persatuan. Antara barangan rasmi yang dijual termasuklah baju polo tee, pelekat kereta, pelekat cukai jalan, cawan, topi, lanyard serta jersi untuk kanak-kanak.

Bagi mengelakkan para penyokong dari tersilap membeli barangan tiruan Selangor, FAS juga sentiasa memantau penjualan barangan tiruan yang dijual oleh para peniaga yang tidak bertanggungjawab. Barangan rasmi FAS boleh didapati melalui tempahan di atas talian, penjualan di pejabat FAS atau pembelian sewaktu hari perlawanan di “Popup Store” FAS dan ejen-ejen jualan rasmi FAS.

Namun apa yang paling menarik dan menjadi bualan ramai mengenai FAS pada masa kini adalah bagaimana FAS mengeskploitasi sepenuhnya penggunaan media sosial untuk kepentingan dan pembangunan pasukan Selangor.

Melalui platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter serta Youtube, FAS menguar-uarkan segala info melibatkan pemain, penjualan barangan rasmi, pengumuman rasmi daripada pihak pengurusan dan banyak lagi.

Capaian yang dimiliki oleh platform media sosial Selangor amatlah memberangsangkan dan ianya memberikan satu kelebihan buat para penaja.

Ini kerana di setiap “posting” yang dilakukan oleh FAS, di situ akan tertera logo penaja dan dari situ peminat mula mengenali penaja dan itulah pendedahan yang kesemua penaja inginkan.

Pendedahan seperti inilah yang memberikan “return of investment” kepada penaja-penaja serta rakan-rakan niaga FAS.

Jika “return of investment” ini dirasakan melebihi nilai yang penaja laburkan dalam pasukan, ianya membuktikan bahawa FAS memberi platform media yang memberansangkan kepada penaja serta rakan niaga.

Dengan peningkatan penggunaan FAS dalam media sosial, penyokong juga kini lebih rapat dan mengenali pemain pasukan melalui video, artikel serta poster yang dikeluarkan.

Contohnya, FAS merupakan satu-satunya pasukan yang mempunyai vlognya yang tersendiri di mana melalui vlog ini, penyokong boleh melihat gelagat pemain di belakang tabir dan bukan sekadar di atas padang sahaja.

Akhir kata, dengan kecemerlangan yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan untuk mengkomersilkan FAS, akan lebih banyak penaja yang sudi untuk bekerjasama bagi membawa Selangor ke arah kejayaan.

INI HANYALAH PERMULAAN.