TERAS PEMBANGUNAN FA SELANGOR: TERAS 5 (TADBIR URUS)

TERAS PEMBANGUNAN FA SELANGOR: TERAS 5 (TADBIR URUS)

Sewaktu Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah mengambil alih tampuk pimpinan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada tahun lalu, lima teras utama telah dikenalpasti dalam usaha untuk menjadikan FAS sebuah entiti yang lebih terkehadapan.

Lima teras tersebut adalah Infrastruktur dan Kemudahan, Pasukan Utama, Pembangunan Akar Umbi, Pengkomersialan dan yang terakhir adalah Tadbir Urus.

Artikel kali ini akan menerangkan teras yang kelima dan yang terakhir iaitu Tadbir Urus.

Sebelum itu, untuk membaca artikel mengenai teras yang pertama (Infrastruktur Dan Fasiliti) anda boleh klik pautan ini: https://bit.ly/311qtB4

Manakala untuk teras kedua (Pemain Utama), anda boleh membacanya di pautan ini: https://bit.ly/2K9M6Z9

Bagi teras ketiga (Pembangunan Akar Umbi), klik pautan ini: https://bit.ly/2GA9sXb

Untuk teras keempat pula (Pengkomersilan), pautannya di sini: https://bit.ly/2YtxqcH

Secara teorinya, teras kelima iaitu tadbir urus adalah umpama ikatan yang mengikat keempat-empat teras yang sebelumnya. Ia bukan sekadar menjadi intipati kepada kesemua teras lain, malah teras kelima ini adalah teras kejayaan formula kebangkitan semula Red Giants.

Sekilas pandang, apa guna jika mempunyai infrastuktur dan fasiliti yang baik, pemain-pemain utama yang bagus, pembangunanakar umbi yang mampan dan program perkomersilan yang mantap, tetapi mempunyai pengurusan yang lemah dan tidak berintegriti.

Antara langkah terawal yang dilakukan FAS adalah melantik Deloitte, salah satu syarikat audit yang terbaik di Malaysia untuk mengaudit dan menyemak kesemua urusan FAS.

Selain itu, Deloitte turut meneliti kesemua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diamalkan FAS sebelum ini dan memberikan nasihat untuk menyediakan prosedur yang lebih baik kepada pihak pengurusan.

Melalui proses audit ini, segala urusan yang dilakukan di FAS semakin telus dan sukar untuk dieskploitasi oleh mana-mana pihak. Integriti adalah satu aspek yang sangat dititkberatkan oleh pihak pengurusan FAS yang baharu.

Demi memastikan pengurusan yang lebih lancar, beberapa jabatan baru juga telah ditubuhkan bagi memastikan segala urusan lebih teratur dan lebih mudah untuk dijalankan.

Antara jabatan baru yang paling mendapat perhatian adalah jabatan media yang bertanggung jawab menguruskan semua kandungan di platform media sosial dengan penerbitan video, poster serta artikel.

Strategi ini nyata membuahkan hasil apabila ‘traction’ yang berjaya diperolehi oleh aset media sosial FAS bukan sahaja membuatkan penyokong Selangor berasa semakin dekat dengan pasukan, malahan penyokong bola sepak seluruh Malaysia amnya, mula meletakkan kandungan media sosial Selangor FA sebagai penanda aras baru bagi pasukan kegemaran mereka.

Selain jabatan media, jabatan khusus yang baru dibentuk adalah jabatan pemasaran. Seperti yang disebut dalam teras pengkomersilan, pemasaran banyak menumpukan usaha untuk menambah dana persatuan.

Hal ini termasuklah dari segi penjualan barangan cenderamata rasmi pasukan, pengenalan system pas bermusim yang inovatif, pencarian dana dan penaja baru pasukan, selain proses meningkatkan nilai jenama pasukan secara eksponen.

Pada Februari yang lalu, FAS juga telah merangka pelan strategik integriti bagi mencegah gejala rasuah dalam sukan bola sepak dengan mengadakan sesi Ikrar Bebas Rasuah.

Pengikraran ini bukan sahaja melibatkan pemain, malah merangkumi jurulatih, pihak pengurusan dan staf.

Lebih menarik, sesi Ikrar Bebas Rasuah ini turut melibatkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM iaitu Datuk Azam Baki.

Langkah ini adalah usaha dalam dari pihak pengurusan persatuan untuk membasmi gejala rasuah yang sering menjadi parasit sukan bola sepak.

Para pemain juga dibekalkan Buku Panduan Pemain sebagai rujukan dalam mewujudkan piawai prestasi, tingkah laku dan etika professionalisme.

Selain itu, Buku Panduan Pemain ini juga dihasilkan dengan tujuan untuk menggalakkan dan mengukuhkan semangat kesukanan, perlakuan adil serta menerapkan etika bagi semua pihak yang bernaung di bawah FAS.

Jika terdapat mana-mana pemain yang melanggar Kod Tatakelakuan yang dinyatakan di dalam buku panduan ini, pemain akan dikenakan tindakan disiplin di bawah Perlembagaan, Peraturan dan Polisi FAS.

Buku panduan ini bukan sahaja terhad kepada pemain utama, malahan turut diberikan kepada pemain pasukan presiden, belia serta skuad futsal lelaki dan perempuan.

Dengan penerangan teras kelima ini, maka lengkaplah kesemua teras yang telah diterapkan oleh pihak pengurusan sepanjang setahun pengambilalihan tampuk pimpinan FAS Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Semoga dengan perlaksanaan ini, FAS mampu untuk terus maju kehadapan dan menjadi salah satu persatuan bola sepak yang terbaik di Malaysia.

INI HANYALAH PERMULAAN.