Jelajah Pramusim Thailand: Thai Honda FC v Selangor

Jelajah Pramusim Thailand: Thai Honda FC v Selangor

Selangor mengakhiri jelajah pramusim Bangkok dengan perlawanan ketiga bertemu Thai Honda FC setelah memenangi satu dan seri satu dalam perlawanan sebelum ini menentang MOF Customs United dan Chonburi FC.

Dalam perlawanan yang berlangsung di IPE Stadium Chonburi ini, Red Giants menurunkan kesebelasan utama yang dibarisi oleh banyak nama-nama baru seperti Khairulazhan, Taylor Regan, Rufino Segovia, Wan Zack Haikal, Endrick Dos Santos, Faiz Nasir, Halim Saari, K.Prabakaran, Azreen Zulkafali, Michal Nguyen dan Antonio German.

Babak awal perlawanan dilihat banyak dikawal oleh pasukan Selangor.

15 minit separuh masa pertama menyaksikan Selangor berjaya mendapat beberapa peluang melalui cubaan jarak jauh sebelum mula bermain dengan lorongan-lorongan ke bahagian sayap yang berbahaya dilakukan oleh Faiz Nasir dan Halim Saari yang kerap  mencari Antonio dan Wan Zack Haikal.

Gambar oleh Asiana.my

Selangor berjaya memecah dinding pertahanan Thai Honda FC dengan gol pertama pada minit ke-19 melalui gol yang dijaringkan oleh Rufino Segovia dengan tap-in mudah hasil one-two di antara Antonio dan Faiz Nasir.

Gerakan yang bermula daripada hantaran jauh Halim Saari itu berjaya disambut oleh Antonio sebelum beliau menggelecek beberapa pemain pertahanan Thai Honda FC dan menghantar bola itu ke dalam 6-yard box Thai Honda FC yang mudah disudahkan Rufino.

Perlawanan bertambah sengit selepas gol pertama apabila Thai Honda FC lebih agresif dengan cubaan-cubaan mereka.  Namun berjaya dipatahkan oleh pertahanan Selangor.

Selangor kemudian kembali menunjukkan taring dengan beberapa larian di bahagian sayap yang banyak membuat rembatan terus yang kebanyakkannya tepat kearah penjaga gol Thai Honda FC.

Larian-larian Faiz Nasir dilihat banyak mengkucar-kacirkan pertahanan Thai Honda sebelum sekali lagi membuat hantaran kepada Antonio pada minit ke-44, yang kemudiannya dijatuhkan di dalam kotak penalti pihak tuan rumah.

Sebelum tamat babak pertama perlawanan, Selangor dihadiahkan dengan sepakan dari spot kotak tersebut yang mudah disudahkan oleh Antonio German.

Kedudukan ketika tamat separuh masa pertama Selangor mendahului dengan 2 – 0.

Gambar oleh Asiana.my

Separuh masa kedua bermula percubaan pertama datang daripada Selangor pada minit ke-47. Selepas Wan Zack berjaya membawa satu cut back mengatasi kawalan pemain pertahanan Thai Honda kepada Rufino, namun pasukan tuan rumah bernasib baik setelah percubaan itu terkena palang gol mereka.

Kemudian perlawanan terus bertambah rancak dengan gerakan Wan Zack Haikal bersama Endrick Dos Santos pada minit ke-51. Wan Zack mempamerkan satu sentuhan cantik apabila menahan bola dengan dada terus ke kaki Endrick yang membuat satu rembatan kencang, yang hampir-hampir menjaringkan gol ketiga Selangor sebelum percubaan itu terkeluar di sebelah kiri gol Thai Honda FC.

Endrick Dos Santos sekali lagi hampir menempa nama sebagai penjaring pada malam ini melalui sepakan percuma yang diambil beliau pada minit ke-56 setelah pemain Thai Honda mengasari Azreen Zulkafali. Sepakan kaki kiri Endrick sekali lagi hanya mampu menggegarkan palang gol pasukan lawan.

Gambar oleh Asiana.my

Tempo perlawanan semakin bertambah laju apabila kedua-dua pasukan membuat serangan bertali arus selepas beberapa pertukaran pemain dibuat.

Pihak tuan rumah akhirnya berjaya memecah kebuntuan dengan gol saguhati pada minit ke-86 setelah sepakan percuma yang dihadiahkan oleh pengadil kepada mereka berjaya menembusi gawang pasukan Selangor.

Wisel penamat ditiupkan dengan Selangor berjaya mengatasi Thai Honda FC 2-1.

Selangor mengakhiri jelajah pramusim siri perlawanan persahabatan di Bangkok dengan mencatat rekod tanpa kalah yang sangat boleh dibanggakan oleh para penyokong selepas memperolehi kemenangan keatas Thai Honda FC pada malam ini.