Rakan Strategik FA Selangor 2019: Universiti Teknologi MARA

Rakan Strategik FA Selangor 2019: Universiti Teknologi MARA

FA Selangor bersama dengan UiTM telah menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 14 Disember 2018 yang lalu.

Jalinan kerjasama ini adalah antara usaha bagi memperkasakan lagi potensi pemain dan pasukan Selangor.

Kemajuan sains sukan akan diterapkan sebagai elemen penting dalam skuad bola sepak Selangor bagi terus membantu meningkatkan prestasi dan juga membentuk kekuatan pasukan ini.

“Kemajuan sains sukan dalam bola sepak adalah salah satu elemen penting yang mampu meningkatkan prestasi pemain, baik secara individu mahupun membentuk kekuatan sesebuah pasukan.

“Selari dengan permodenan industri bola sepak, ianya turut membawa bersama idea-idea yang dapat memudahkan pemain atau mana-mana atlet mengimbangi kecergasan dan meningkatkan prestasi mereka dengan lebih cepat dan teratur,” kata Dr Johan Kamal Hamidon, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor.

Kerjasama ini turut dilihat akan memberi impak positif buat ramai pihak termasuk pelajar jurusan sains sukan UiTM yang akan berpeluang untuk bekerjasama dengan pemain profesional bagi meningkatkan mutu akademik sains sukan negara kita.