Unifi Liga Super 2019: Kuala Lumpur v Selangor

Unifi Liga Super 2019: Kuala Lumpur v Selangor

Semalam di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, tandukan legenda Selangor, Mohd Amri Yahyah telah menjadi pemisah dan memberikan derbi Lembah Klang kali ini satu lagi kenangan yang cukup manis buat penyokong Red Giants.

Selangor membuat satu comeback yang cukup bertenaga pada separuh masa kedua sekaligus melakarkan tiga mata pertama bagi saingan unifi Liga Super Malaysia 2019 selepas berjaya menewaskan Kuala Lumpur 3-2 semalam.

Pasukan Merah Kuning membuat pertukaran penjaga gol untuk perlawanan ini menggantikan Khairulazhan yang telah beraksi dalam 4 perlawanan sebelum Farizal Harun pula kali ini diberikan tanggungjawab mengawal kubu Selangor.

Selepas sepak mula, Selangor dilihat lebih kerap mengatur gerakan ke kubu tuan rumah pada minit awal permainan.

Namun dengan keadaan padang yang sedikit basah selepas dibasahi hujan sebelum perlawanan, menjadikan sentuhan bola sedikit licin, Muhammad Syafwan Sahlan menyentap semangat Gergasi Merah dengan menanduk kemas hantaran Zaiful Abdul Hakim untuk jaringan pendahuluan Kuala Lumpur. Tepisan Farizal, yang terbang ke penjuru kiri gawang Selangor itu tidak mampu menghalang jaringan minit kelima itu.

Dalam masa Selangor berusaha mencari gol penyamaan, ketua pasukan, Rufino Segovia pula terpaksa dikeluarkan pada minit ke-28 akibat kecederaan dan digantikan dengan Sean Selvaraj.

Selangor kemudian terus melancarkan beberapa siri gerakan serangan tetapi usaha tersebut seringkali digagalkan barisan pertahanan Kuala Lumpur yang dikemudi Muhammad Irfan Zakaria dan Luke Woodland.

Gambar oleh: Asiana.my

Syafwan kemudian hampir meledakkan jaringan kedua peribadi pada minit ke-34 selepas beliau mendapat ruang yang cukup luas di hadapan kawasan penalti. Rembatan yang dilepaskan dari luar kawasan penalti itu bagaimanapun berjaya dinafikan oleh Farizal dengan kemas.

Gawang yang dikawal Farizal akhirnya sekali lagi dibolosi berselang tiga minit kemudian, berikutan kecuaian Taylor Regan yang gagal mengeluarkan bola hantaran lintang Zaiful dari kawasan bahaya. Indra Putra Mahayuddin menggunakan kesempatan terhidang itu dengan sebaiknya untuk melepaskan rembatan kaki kiri padu.

Selangor kemudian meneruskan perjuangan melalui peluang sepakan percuma. Sandro Da Silva Mendonca, yang terkenal dengan kualiti sebagai dead ball specialist ini hampir mencipta jaringan menerusi sepakan percuma tersebut, namun Mohd Sharbinee Allawee Ramli tangkas menafikan percubaan terbaik itu.

Satu lagi percubaan juga menerusi sepakan percuma yang diambil Sandro pada masa kecederaan babak pertama turut berjaya ditangkap kemas Sharbinee.

Babak pertama tamat dengan Selangor ketinggalan 2 – 0 dengan City Boys.

Kelebihan dua gol dimiliki Kuala Lumpur langsung tidak mematahkan semangat Selangor untuk melakukan kebangkitan dramatik berbaki 45 minit terakhir.

Amri Yahyah dimasukkan dengan menggantikan Faiz Nasir sejurus babak kedua bermula.

Kebangkitan itu terserlah apabila tiga jaringan Selangor berjaya dihasilkan dalam tempoh 10 minit.

Sandro mula memberikan harapan dengan jaringan pertama hasil sepakan penalti yang disempurnakan pada minit ke-67. Sepakan tersebut dihadiahkan kepada Selangor oleh pengadil perlawanan, Mohd Fairuzi Mat Desa berikutan kekasaran dalam kawasan penalti yang dilakukan Mohd Fitri Omar terhadap Sandro sendiri.

Gambar oleh: Asiana.my

Empat minit kemudian, Mohd Syazwan Zainon menerima hantaran jauh daripada Abdul Halim Saari sebelum melepaskan rembatan padu dari jarak dekat, near post yang agak sukar jika difikirkan oleh mana-mana pemain. Percubaan almost impossible tersebut berjaya menewaskan Sharbinee untuk gol penyamaan dan sekaligus menjadikannya gol tercantik perlawanan setakat ini.

Amri Yahyah muncul wira buat Selangor selepas beliau berjaya melakukan tandukan yang terus melonjakkan dan menyemarakkan lagi kegembiraan buat skuad Merah Kuning pada minit ke-76.

Dilihat kecewa dengan kealpaan mereka, pemain Kuala Lumpur berusaha untuk kembali menyamakan kedudukan, namun percubaan diledakkan dalam kawasan penalti oleh Indra Putra terus berjaya dinafikan Farizal.

Gambar oleh: Asiana.my

Tandukan pada minit akhir permainan oleh Syafwan juga sekadar terkena tiang gol bagi menggagalkan usaha mereka.

Saat yang dinantikan penyokong dan para pemain Selangor menjelma selepas Fairuzi meniupkan wisel penamat untuk menghadiahkan kemenangan pertama buat Selangor dalam saingan liga musim ini serta menjadi ‘raja’ derbi Lembah Klang.

 

Tonton video penuh HIGHLIGHTS: unifi Liga Super M2019 – Kuala Lumpur v Selangor