Unifi Liga Super 2019: Selangor v JDT

Unifi Liga Super 2019: Selangor v JDT

Malam tadi telah berlangsung perlawanan yang sudah semestinya menjadi tumpuan peminat sukan bola sepak. Pasukan pelawat iaitu JDT merupakan sebuah pasukan yang terkenal sedang meningkat naik mencipta deretan kejayaan di era moden ini dan Red Giants pula adalah sebuah pasukan yang kaya dan sudah pasti cukup disegani dengan sejarah gemilangnya yang tersendiri.

Sandro Da Silva Mendonca membuat penampilan pertama beliau menyarung jersi Selangor dalam perlawanan ini. Kesebelasan utama Selangor turut menyaksikan barisan pemain seperti Khairul Azhan Khalid, Taylor Regan, Endrick Dos Santos, Faiz Nasir, Nurridzuan Abu Hassan, Abdul Halim Saari, Syahmi Safari, Syazwan Zainon, Michal Nguyễn dan Rufino Segovia selaku ketua pasukan.

Manakala Harimau Selatan meletakkan Farizal Marlias, Afiq Fazail, Diogo Luís Santo, Safawi Rasid, Gonzalo Cabrera, Hariss Harun (C), Leandro Sebastián Velázquez, Azrif Nasrulhaq, La’Vere Corbin-Ong, Kiko Insa, Maurício dos Santos Nascimento sebagai skuad utama yang diturunkan malam ini.

Selepas sepak mula, JDT tidak menunggu lama untuk berada di hadapan apabila Leandro Velazquez menyempurnakan hantaran Diogo Santo pada minit ke-7 perlawanan mencipta jaringan bagi mendahului Selangor 1-0.

Selangor kemudian terus meningkatkan tempo dan corak perlawanan. Beberapa percubaan untuk menghasilkan tindak balas mengasak kubu JDT dilihat merancakkan permainan. Namun percubaan dari Rufino kerap kali tepat menuju ke Farizal Marlias.

Gambar oleh: Asiana.mu

Benteng Selangor sekali lagi dihukum apabila Diogo Santo kali ini cepat menyambar bola daripada tangan Khairul Azhan untuk JDT melebarkan kedudukan kepada 2-0 pada minit ke-13 perlawanan.

Red Giants kemudian seperti bangkit dari lena. Minit ke-27 perlawanan menyaksikan tandukan Sandro menggegarkan palang gol JDT sebelum Rufino turut terlepas peluang dua minit kemudian hasil gerakan menarik oleh Syazwan Zainon dan Faiz Nasir.

GOL SELANGOR! Percubaan Endrick Dos Santos dari luar kotak penalti yang menerjah jaring JDT pada minit ke-32 perlawanan kembali menggamatkan Stadium Shah Alam dengan Selangor merapatkan kedudukan 2-1. Gol tercantik perlawanan setakat ini.

Gambar oleh: Asiana.mu

Babak pertama perlawanan terus dihangatkan dengan jaringan apabila giliran Gonzalo Cabrera pula kali ini mencetak nama sebagai penjaring. Bijak memanfaatkan hantaran dari Diogo, JDT terus kembali mendahului dengan kelebihan dua gol.

GOL SELANGOR! Pada minit ke-45, Rufino Segovia kemudian sekali lagi berjaya merapatkan kedudukan dengan menanduk masuk hantaran Faiz Nasir sebelum babak pertama perlawanan berakhir dengan kedudukan jaringan 3-2.

Separuh masa kedua perlawanan bermula dengan Selangor kelihatan mempunyai misi jelas untuk memburu jaringan penyamaan. Asakan demi asakan mula dihasilkan oleh jentera tengah dan hadapan Merah Kuning.

Gambar oleh: Asiana.mu

Namun demikian, JDT sekali lagi dihadapan apabila Leandro Velazquez bijak menyudahkan bola muntah dari tampanan Khairul Azhan hasil percubaan Cabrera pada minit ke-68.

Tempo permainan kedua-dua pasukan kemudian kekal sehingga tamat 90 minit perlawanan. Tidak banyak yang boleh dikisahkan selepas itu. Pertukaran pemain dilakukan oleh kedua-dua pasukan bagi menggantikan pemain yang sudah keletihan dan mengalami kecederaan.

Pengadil meniupkan wisel penamat. Perlawanan berkesudahan dengan JDT menewaskan Selangor 4-2 di Stadium Shah Alam.

 

Tonton video penuh HIGHLIGHTS: unifi Liga Super M2019 – Selangor v JDT