Wajah Bola Selangor: Amir Shariffuddin Samat

Wajah Bola Selangor: Amir Shariffuddin Samat

Wajah Bola Selangor merupakan koleksi temubual dan kisah-kisah individu yang dirakamkan dari padang, stadium, bandar, lebuh dan jalanan, bagi membawa di sebalik tabir kehidupan mereka yang merupakan sebahagian daripada dunia bola sepak Selangor.

—————–
Nama saya Amir Shariffuddin bin Samat. Saya dilahirkan di Banting, Selangor sebelum membesar di Bangsar, Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Saya bersekolah di SRK La Salle Brickfields, Sekolah Berprestasi Tinggi dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu sebelum menyambung pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang Sains Komputer (Multimedia).

Ramai yang tidak tahu, semasa di UTM, salah satu tugasan kami pada ketika itu adalah menghasilkan laman web, di mana pada ketika itu saya telah menubuhkan satu laman web yang berkonsepkan forum komuniti yang bernama selangorfc.com.

Alhamdulillah laman web tersebut telah berkembang menjadi satu komuniti forum penyokong Selangor yang popular untuk tempoh yang lama sehinggalah ditelenggami Facebook dan Twitter.

Saya mula menyertai FAS secara rasminya pada tanggal 1 Oktober 2014. Difikirkan balik, permulaan kerjaya saya bersama FAS tidaklah begitu indah.

Selepas beberapa hari sahaja menyertai FAS, saya menjadi salah seorang pegawai dan pemain pasukan Selangor yang dikepung oleh Ultrasel di Padang SUK Selangor kerana kemorosotan prestasi pasukan.

Tiga bulan selepas itu, pejabat FAS pula disimbah cat oleh pihak tidak bertanggungjawab. Pendek kata, permulaan kerjaya saya di FAS bukan dengan langkah kanan.

Saya merupakan peminat sejarah dan statistik. Sebagai projek peribadi, saya sedang mengumpulkan sejarah, cerita, data dan statistik bola sepak Selangor secara tahunan.

Saya juga minat membaca buku yang bergenre motivasi diri seperti buku-buku Seth Godin, biografi Steve Jobs, Jeff Bezos, A Doctor In The House serta buku mengenai bola sepak seperti Soccernomics dan Das Reboot.

Saya juga bermain FIFA 19 di Xbox di masa lapang. Pasukan Ultimate Team saya, Banting Bulls dibarisi pemain-pemain terbaik FC Bayern dahulu dan sekarang seperti Neuer, Lewandowski, Muller, Klose, Matthaus, Ballack dan bernilai melebihi 3.5 juta.

Sebagai Penolong Setiausaha Agung di FA, saya boleh dikatakan tidak mempunyai hari tipikal seperti pekerja pejabat biasa; kerja saya tidak bermula pada jam 8 pagi dan tidak juga berakhir pada 5 petang.

Selain membantu tugas-tugas Setiausaha Agung, saya juga adalah Pegawai Perlesanan Kelab AFC/FAM pasukan Selangor dan koordinator pasukan futsal Selangor.

Sebagai contoh, semalam walaupun telah pulang dari pejabat pada jam 4.30 petang, di sebelah malam selepas terawih saya berbincang mengenai jadual Piala FA FAS 2019.

Dalam perjalanan pulang pula, saya berbual dalam telefon berhubung saiz jersi sebelum berWhatsApp dengan Setiausaha Agung FAS, Dr Johan bagi menyediakan dokumen-dokumen diperlukan bagi mesyuarat beliau pada hari Khamis nanti.

Pukul 12.30 tengah malam, ketika saya merasakan semua urusan selesai, saya telah menerima dokumen berkaitan Perlesenan Kelab daripada Encik Izzat, pegawai Stadium Shah Alam untuk saya teliti.

Pernah juga satu ketika saya menguruskan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) dan dokumen berkaitan perpindahan seorang pemain import semasa orang lain sibuk memasak ketupat sebagai persiapan di petang menjelang Hari Raya.

Pendek kata, 24/7/365 saya bersama bola sepak, namun saya tidak pernah merasakan ianya satu beban, sepertimana kata bijak pandai “Do What You Love, and You’ll Never Work Another Day in Your Life”.

Dalam pada ini, saya sangat bersyukur dikurniakan keluarga yang amat memahami, terutama isteri yang banyak membantu menguruskan keluarga di saat saya sibuk dan ibu saya yang kerap bertanya khabar melalui WhatsApp dan menjawab bagi pihak saya jika tidak dapat menghadiri majlis keluarga.

Momento bola sepak yang paling bernilai yang saya miliki adalah jersi Selangor 1994 milik Mehmet Durakovic serta dua biji bola yang masing-masing ditandatangani skuad juara Piala Malaysia 2005 dan juara Piala Malaysia 2015.

Bapa saya adalah inspirasi saya. Beliau begitu tenang dalam semua perkara, sentiasa kemas dalam penampilan, gigih bekerja tetapi dalam pada masa yang sama tidak pernah mengabaikan keluarga.

Bagi saya, keluarga adalah segala-galanya. Saya sentiasa mengutamakan keluarga saya. Disebabkan itu, hari perkahwinan saya adalah hari yang paling saya tidak boleh lupakan.

Selain itu, kegembiraan menjulang Piala Malaysia pada 2015 bersama pasukan Selangor juga merupakan memori manis bagi saya. Apatah lagi pada ketika itu Selangor berjaya melengkapkan Misi 33.

Saya berharap dapat menjejaki tiga tempat ini sebelum saya meninggal dunia, Makkah, Madinah dan Munich dia mana saya mahu pergi ke Allianz Arena dan Sabauner Strasse. Tunggu saya datang.

Suatu hari nanti, saya berharap senyuman saya akan diingati oleh semua. Kerana itu bermakna saya telah memberikan anda sesuatu yang manis untuk diingati tidak kira dari segi perbuatan mahupun perkataan saya.

Terima kasih kerana membaca perkongsian saya. Saya juga ada menulis di dalam buku Cerita Bolasepak Malaysia yang diterbitkan pada 2013. Kalau sudi, bacalah!

Amir Shariffudin Samar

Penolong Setiausaha FAS, Peminat Bayern Munich & Pencinta Keluarga