Wajah Bola Selangor: Azman Ahmad

Wajah Bola Selangor: Azman Ahmad

Nama saya Azman bin Ahmad namun lebih dikenali sebagai Man Ben dalam pasukan Selangor. Gelaran itu bermula daripada bekas pemain Selangor iaitu Zamri Ismail yang kerap kali memanggil saya dengan nama Ben dan ia kekal hingga kini.

Saya berumur 47 tahun dan berasal daripada Klang, Selangor. Seorang bapa tunggal dan mempunyai tiga orang anak serta seorang cucu.

Saya bertugas sebagai “kitman” atau penyelaras peralatan sukan bagi pasukan Liga Super Selangor.

Sebelum ini, saya bekerja sebagai seorang “kitman” di akademi futsal kendalian Brazilian Futsal Academy.

Kemudian saya ditawarkan oleh rakan baik saya iaitu Zamri untuk menyertai pasukan Selangor dan memulakan karier bersama Selangor pada Disember 2014 sehingga kini.

Pada mulanya saya bertugas sebagai “kitman” bagi pasukan Piala Presiden Selangor dimana pada ketika itu skuad piala presiden dikemudi oleh En. Suhaimi selaku jurulatih, selepas itu digantikan oleh En. Omar dan akhirnya diambil alih oleh En. Nazliazmi Nasir.

Saya mula bertugas untuk pasukan Liga Super pada awal tahun 2018. Jadi tahun ini adalah tahun kedua saya bersama pasukan.

Sebagai “kitman”, tugasan saya adalah menjaga dan menyelaras peralatan-peralatan yang akan digunakan oleh pasukan seperti bola, air, pancang dan pelbagai lagi untuk kegunaan sesi latihan.

Saya juga dipertanggungjawabkan untuk menguruskan jersi-jersi pemain untuk digunakan pada hari perlawanan.
Pada setiap hari, saya akan datang awal dua jam sebelum sesi latihan bermula untuk menyediakan semua peralatan yang diperlukan oleh jurulatih.

Saya juga merupakan orang terakhir untuk pulang ke rumah selepas sesi latihan bagi memastikan kesemua peralatan yang digunakan dikemas semula.

Kenangan manis saya sudah pasti sewaktu menjadi juara Piala Presiden pada tahun 2017 dibawah kendalian En. Omar selaku jurulatih pada ketika itu.

Selain itu, hari kelahiran cucu saya juga adalah hari yang paling bahagia buat saya yang saya tidak akan lupakan.

Dalam kehidupan saya ini, perkara yang saya ingin lakukan adalah menunaikan hasrat arwah ayah saya.

Kami mempunyai satu bidang tanah dan ayah saya seringkali menyatakan hasrat untuk membina rumah di atas tanah tersebut.

InsyaAllah, saya akan cuba untuk merealisasikan hasrat beliau meskipun beliau sudah tiada lagi sebelum mata saya terpejam.

Nasihat saya kepada pemain-pemain muda, jangan mudah mengalah dan terus berikan yang terbaik sehingga anda jadi yang terbaik.

Azman Ahmad
Kitman Skuad Liga Super Selangor, Bapa Tunggal, Penyeri Skuad Selangor.