Wajah Bola Selangor: Coach Gobak

Wajah Bola Selangor: Coach Gobak

Wajah Bola Selangor merupakan koleksi temubual dan kisah-kisah individu yang dirakamkan dari padang, stadium, bandar, lebuh dan jalanan, bagi membawa di sebalik tabir kehidupan mereka yang merupakan sebahagian daripada dunia bola sepak Selangor.
________

Pertamanya assalamualaikum dan selamat sejahtera. Nama saya Shuhaimi B Abd Hamid atau lebih dikenali sebagai Coach Gobak.

Saya merupakan jurulatih penjaga gol bagi pasukan belia ataupun bawah 19 Selangor.

Mula bertugas di Selangor pada hujung tahun 2014 dan bermula sebagai jurulatih penjaga gol belia.

Setahun kemudian saya bersama skuad presiden di mana kami berjaya menjadi juara Piala Presiden pada tahun 2017.

2018, saya dinaikkan pangkat untuk bersama pasukan Liga Super dan pada tahun ini saya kembali bersama pasukan belia.

Saya berasal dan dibesarkan di Bagan Datuk, Perak.

Lahir pada tahun 12 Disember 1972, kini saya berumur 47 tahun.

Saya sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak iaitu seorang lelaki dan dua orang perempuan.

Saya memang sukakan bola sepak dan minat itu muncul pada sejak daripada kecil lagi.

Namun selain bermain bola, minat saya adalah berenang.

Parit atau sungai berhampiran rumah saya adalah mangsa saya dan rakan-rakan untuk melompat, terjun dan sebagainya.

Karier bola sepak profesional saya bermula sewaktu saya berumur 19 tahun bersama pasukan PKNS di dalam Liga Selangor atau lebih dikenali sebagi Liga Dunhill.

Antara rakan sepasukan saya sewaktu di PKNS adalah Azizul Aziz dan saya menjadi penjaga gol kedua selama tiga tahun di PKNS dan atas usaha dan kerja keras saya, kemudiannya saya menjadi penjaga gol utama PKNS.

Ketika saya di bangku sekolah, saya bukannya bermain di posisi penjaga gol sebaliknya saya lebih gemar bermain sebagai pemain pertahanan.

Namun atas permintaan rakan-rakan yang nampak potensi saya untuk bermain di posisi penjaga gol, saya turutkan.

Alhamdulillah, keputusan yang saya ambil pada waktu itu adalah tepat.

Sewaktu di zaman sekolah, saya sudah mula dipanggil oleh pasukan Perak untuk beraksi di kejohanan Piala Milo.

Kepada yang tidak tahu mengenai Piala Milo, ianya merupakan kejohanan yang banyak mencungkil bakat-bakat muda di Malaysia.

Kemudian selepas itu saya berpindah ke Selangor dan menetap di Sungai Way.

Di situ ada satu padang berhampiran Flat PKNS dan saya bermain setiap petang di situ.

Tiba-tiba ada seseorang ni datang kepada saya dan cakap saya mempunyai bakat besar dalam bola sepak dan suruh saya pergi mencuba nasib bersama pasukan PKNS.

Kebetulan pula pada ketika itu PKNS sedang mencari penjaga gol dan alhamdulillah rezeki itu sampai sehingga kini.

Sebagai seorang jurulatih, terutama sekali jurulatih penjaga gol, bukannya satu tugas yang mudah.

Tambahan lagi di peringkat akar umbi ataupun pembangunan.

Cara latihannya berbeza dan cara mengajarnya juga berbeza.

Namun saya mengambil cabaran tersebut dan sentiasa memberikan yang terbaik untuk pemain-pemain saya.

Antara penjaga gol yang pernah berada di bawah jagaan saya adalah Khairul Fahmi Che Mat, Badrul Zaman, Ramizie Che Ros, Yazid Yasin dan banyak lagi.

Bagi saya, sebagai seorang jurulatih dan berjaya melahirkan pemain-pemain seperti nama-nama di atas adalah satu kebanggaan dan satu kepuasan.

Boleh katakan ianya adalah pengalaman manis bagi saya selain daripada memenangi piala dan menjadi juara liga.

Akhir kata, ingin saya memberi nasihat kepada mana-mana pemain muda di luar sana yang berminat menjadi penjaga gol, pada mulanya ianya bukan mudah untuk menjadi penjaga gol.

Namun apabila anda sudah mula selesa, ianya akan menjadi mudah bagi anda.

Contohnya, sewaktu dalam permainan, penjaga gol adalah pemain yang paling sikit berlari ataupun kurang penat.

Tetapi sewaktu latihan, andalah orang yang paling banyak bekerja.

Jadi tabahkan hati anda dan sentiasa berikan yang terbaik demi menjadi yang terbaik.