Wajah Bola Selangor: Coach Lim Chuan Chin

Wajah Bola Selangor: Coach Lim Chuan Chin

Wajah Bola Selangor merupakan koleksi temubual dan kisah-kisah individu yang dirakamkan dari padang, stadium, bandar, lebuh dan jalanan, bagi membawa di sebalik tabir kehidupan mereka yang merupakan sebahagian daripada dunia bola sepak Selangor.

__

Hi. Selamat petang kepada semua pembaca. Pertama sekali, lebih elok saya memperkenalkan diri terlebih saya dahulu. Nama saya Lim Chuan Cin.

Saya merupakan jurulatih penjaga gol bagi pasukan Presiden Selangor 2019.

Ini merupakan tahun pertama saya di FA Selangor.

Saya dilahirkan pada 3 May 1957 iaitu tiga bulan sebelum negara kita mencapai kemerdekaan.

Jadi umur saya pada tahun ini adalah 62 tahun. Sama umur dengan Malaysia.

Saya berasal daripada negeri Melaka, negeri yang penuh dengan sejarah.

Saya datang daripada keluarga yang besar dengan 15 orang adik beradik.

Saya merupakan anak yang ke-11 dan anak lelaki yang keenam.

Kini saya sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak dan tiga orang cucu.

Kedua-dua anak perempuan saya kini berada di luar negara manakala anak lelaki saya berada di Pulau Pinang.

Bercerita mengenai karier bola sepak saya, saya mula bermain secara professional sejak berumur 18 tahun lagi.

Pada ketika itu, saya bermain bersama pasukan Penjara FC dan pada masa yang sama, dipanggil untuk menyertai skuad Malaysia B pada sekitar 80-an.

Namun ketika itu, saya juga dipanggil untuk berlatih bersama skuad Malaysia A.

Di hadapan saya pada ketika itu, adalah mendiang Datuk R. Arumugam selaku penjaga gol utama dan kadang-kadang Rashid Hassan dan Hamid Ramli selaku penjaga gol kedua.

Saya pada ketika itu, merupakan seorang rookie yang mencuba sehabis baik untuk menimba pengalaman kerana saya masih muda, baru berusia 19 tahun.

Jadi saya belajar, lihat apa yang terjadi, lakukan apa yang diperlukan oleh jurulatih saya dan daripada situ, saya belajar banyak benda.

Bersama pasukan utama, saya tidak mendapat banyak peluang untuk bermain tetapi bersama dengan pasukan Malaysia B, saya bermain secara aktif.

Antara rakan sepasukan saya di Malaysia B adalah arwah Alias Syed Mohd serta mendiang Ong Yu Tiang.

Kali pertama saya bermain untuk pasukan Malaysia A adalah pada awal 90-an.

Saya pernah beraksi untuk kejohanan Piala Jakartaraya bersama-sama dengan Datuk Shukor Salleh, Datuk Jamal Nasir serta Datuk Arumugam dan kami pernah bergelar juara.

Kemudian, kami turut bermain di Piala Raja Thai dan juga berjaya menjadi juara dan lebih manis kami berjaya menewaskan Thailand 2-0 di laman mereka sendiri.

Pasukan negara ketika itu sangat kuat dan digeruni di Asia Tenggara kerana dianggotai oleh pemain senior dan juga junior seperti saya.

Ini kerana, bagi kami ini semua adalah cabaran kerana kami perlu bermain bermati-matian demi lencana di dada.

Setiap kali kami bermain, kami mahu menang.

Sebagai seorang pemain muda, saya sentiasa rasakan saya amat bertuah pada ketika itu kerana dapat mewakili Malaysia.

Ia perkara yang sangat berharga bagi saya.

Bercakap mengenai karier bersama pasukan negeri dan kelab, selepas lima tahun berbakti untuk pasukan Penjara, saya berhijrah ke pasukan Pahang untuk dua tahun.

Selepas tiga tahun, saya berpindah ke Melaka sambil bekerja di Lembaga Air Melaka (LAM).

Ketika bermain di Melaka, saya masih lagi aktif untuk bermain bersama pasukan kebangsaan.

Bersama Melaka, saya juga berjaya mencipta kenangan manis apabila berjaya menjadi juara liga.

Kemudiannya saya dilamar oleh Kwong Yik Finance untuk bermain di dalam kejohanan liga diantara bank bersama-sama Mokhtar Dahari di mana di sertai oleh pasukan seperti Public Bank dan juga Bank Bumiputera.

Selepas itu barulah saya menyertai pasukan Selangor.

Bagaimana saya mula berminat untuk menjadi jurulatih?

Ketika itu saya berumur 30 tahun dan saya mula memikirkan mengenai masa depan saya.

Sampai bila saya boleh bermain? Sampai bila saya boleh mengerahkan kudrat saya?

Jadi bermula daripada ketika itu, saya mula merangka pelan masa depan saya dengan menjadi jurulatih.

Selepas saya mengambil lesen dan juga menyertai kursus yang diperlukan, saya terus dirisik oleh skuad kebangsaan untuk menjadi jurulatih penjaga gol pertama di Malaysia.

Ya betul, skuad kebangsaan adalah pasukan pertama yang saya latih.

Bagi saya ini adalah impian menjadi kenyataan kerana memang hasrat saya untuk menjadi jurulatih pasukan kebangsaan.

Datuk Seri Paul Mony yang merupakan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia pada ketika itu memanggil saya untuk menjadi jurulatih mereka pada tahun 2000.

Pada ketika itu, tidak ramai pemain yang mahu berhenti bermain bola dan mengambil cabaran untuk menjadi jurulatih penjaga gol.

Jadi saya mengambil cabaran tersebut dan terus memfokuskan kepada kerjaya baharu saya itu.

Banyak pengalaman telah saya timba sewaktu menjadi jurulatih negara.

Banyak negara saya telah lawati.

Antara memori yang paling saya tidak lupakan adalah sewaktu perlawanan menentang Arab Saudi di Jordan.

Arab Saudi pada ketika itu adalah pasukan yang sangat kuat.

Sebelum perlawanan bermula, ramai orang dan juga peramal sukan bola sepak meramalkan yang pasukan kita, Malaysia akan dibelasah teruk oleh Arab Saudi.

Namun, anak murid saya pada ketika itu iaitu Khairul Azman, bermain dengan begitu cemerlang dan menafikan banyak percubaan daripada pasukan Arab.

Malaysia berjaya menamatkan separuh masa pertama dengan keputusan 0-0 namun bolos tiga gol di separuh masa kedua.

Sebaik sahaja tamat perlawanan, penyokong pasukan Arab yang hadir memakai jubah putih pada ketika itu terus meluru ke arah Khairul Azman dan mengangkat beliau.

Mereka merasakan persembahan yang dipamerkan oleh Khairul Azman begitu bagus dan cemerlang.

Perasaan saya pada ketika itu sangatlah seronok dan ianya sangat sukar untuk dilupakan.

Kerana pemain yang dilatih oleh saya bermain dengan begitu baik dan saya merasa sangat bangga.

Selain Khairul Azman, terdapat beberapa lagi pemain yang saya pernah latih antaranya Khairul Fahmi Che Mat, Farizal Marlias dan banyak lagi.

Ini kerana sewaktu saya bersama pasukan kebangsaan, jika tiada perlawanan, saya akan bertugas di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Jadi ramai pemain yang saya telah latih.

Kini saya mencurah bakti untuk pasukan Presiden FAS.

Kata-kata terakhir dari saya, saya berharap saya akan diberikan peluang sepenuhnya untuk berbakti di FAS.

Saya juga ingin melihat bendera Selangor sentiasa berkibar tinggi.