Wajah Bola Selangor: B. Satiananthan

Wajah Bola Selangor: B. Satiananthan

Nama saya B. Satiananthan, berumur 60 tahun, lahir di Tanjung Malim, Perak. Keluarga kami berpindah ke Muar, Johor semasa saya berumur saya 1 tahun.

Dari zaman sekolah lagi, ramai orang akan tersalah sebut bila sampai ke nama saya, dan ibu saya bila dengar ini, dia akan marah. Sebenarnya, sebutan nama saya bukanlah Satiananthan, tetapi yang sebetulnya, Satia-Ananthan. Jadi ramai kawan semasa sekolah, akan panggil saya Nathan, sebab Satiananthan agak panjang untuk disebut.

Saya mula bermain bola sepak sejak dari kecil. Ayah saya seorang pemain bola sepak, abang-abang saya pemain bola sepak. Jadi saya membesar di dalam sebuah keluarga yang semua orang bermain bola sepak.

Antara perkara yang saya masih ingat dari kecil sehingga hari ini adalah ketika melihat ayah saya menjaringkan gol. Ya. Ayah bukan sekadar seorang pemain, tetapi beliau adalah seorang pemain yang bagus. Ayah selalu bawa saya bersama melihat beliau bermain tidak kira di mana saja.

Jadi saya selalu rasa, sebab pendedahan awal beginilah, saya sangat dekat dengan bola sepak hari ini. Ayah bukan jenis yang akan mengingatkan saya untuk pergi sekolah, tetapi akan lebih mengingatkan saya untuk berlatih dengan lebih bersungguh-sungguh. Beliau seorang ayah yang sangat berbeza.

Kini saya sebagai bapa, dan suami, telah dikurniakan tiga orang cahaya mata daripada perkahwinan pertama saya. Tidak saya nafikan, perceraian perkahwinan pertama itu banyak memberikan impak dalam hidup saya. Perkahwinan pertama saya banyak terjejas kerana kerjaya. Saya tidak meluangkan masa yang cukup dengan keluarga, dengan anak-anak, dan saya hanya sibuk dengan bola sepak.

Namun selepas 10 tahun, saya melangkah ke alam perkahwinan buat kali kedua, kali ini bersama dengan isteri saya sekarang, dan kami mempunyai seorang anak lelaki. Sekarang saya telah banyak belajar dari kesilapan sebelum ini, jadi saya boleh kata perangai saya kini lebih matang berbanding dulu. Sekarang, saya kurang ke luar negara, tidak mengejar certificates seperti dulu. Jadi dalam perkahwinan kedua ini, kehidupan saya lebih stabil.

Sebagai seorang jurulatih, ada masanya kekecewaan kerana kekalahan itulah yang banyak menyelubungi dada dan paling sukar untuk dilupakan. Apabila pulang ke rumah, satu-satunya orang yang tidak akan komen adalah isteri, dialah yang sentiasa ada di sisi saya dan paling memahami perasaan saya.

Kemudian apabila saya keluar berjumpa dengan kawan-kawanlah, itulah masanya semua orang akan ada komen sendiri dan mula beritahu saya corak permainan yang perlu diubah dan sebagainya. Ini sebenarnya perkara-perkara yang boleh membuatkan seseorang itu selalunya lebih stress.

Jadi bagi saya, keluarga sangat diperlukan sebagai tulang belakang sesiapapun, terutama sekali apabila kamu berada dalam keadaan sedih, kecewa, kalah, tiada orang yang akan lebih dapat memahami diri seseorang itu melainkan keluarga.

Dalam kerjaya, saya sebenarnya mula bekerja sebagai pegawai bank. Semasa saya menjadi penolong jurulatih, saya masih bekerja di bank. Tan Sri Dato’ Zain Hashim pada masa itu adalah Pengerusi bank kami dan dalam masa yang sama, beliau juga adalah Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pengadil FAM. Majikan saya pada masa itu banyak bertolak ansur dengan memberikan saya ‘Cuti Sukan’.

Kemudian pada tahun 1994 selepas saya dilantik sebagai penolong jurulatih di bawah FAM, saya diberi cuti sukan selama 3 tahun oleh majikan, dan Tan Sri Zain adalah individu yang banyak memahami dan meluluskan cuti sukan saya pada masa itu.

Saya masih kekal sebagai status pekerja di bank tersebut tetapi saya langsung tidak ke pejabat sehingga tahun 2000. Pada tahun 2002, saya berhenti sebagai pegawai bank dan mengambil keputusan untuk memberi fokus dan sepenuh masa saya kepada kerjaya kejurulatihan saya.

Masa yang masih lagi segar dalam ingatan saya ialah kali pertama saya menerima certificate kejurulatihan adalah semasa saya tamat sekolah pada ketika saya berumur 18 tahun. Itulah kursus asas kejurulatihan pertama yang saya hadiri. Saya juga antara yang termuda pada masa itu, bersama dengan mereka yang lain berumur sekitar 30-an dan 40-an. Jadi, penglibatan saya dalam melatih pasukan bola sepak ini sebenarnya sudah lama tertanam dalam diri saya seawal usia remaja saya lagi.

Semasa zaman bermain saya, saya pernah mewakili Negeri Sembilan setelah berpindah ke Seremban untuk menyambung pelajaran di salah sebuah kolej di sana. Jurulatih pada masa itu ialah Paul Nathan.

Saya dan rakan-rakan pula selalu bermain di Padang Stesyen sekadar untuk beriadah dan berpeluh. Satu hari, ada seorang pemuda ini mendekati saya semasa kami sedang bermain dan bertanya, “Hey tambhi, do you want to play football for negeri?”, dan sudah pasti jawapan saya adalah ya! Padahal masa itu, saya langsung tidak kenal siapa dia sebenarnya. Kemudian barulah saya tanya kepada rakan-rakan saya, siapa lelaki ini dan barulah ada yang menyebut “Are you stupid? You don’t know? That is the state coach.”

Jadi saya menyahut jemputan beliau dengan menyertai latihan skuad negeri pada masa itu. Nama saya di dalam senarai pemain tetapi tidak pernah bermain satu perlawanan pun. Hanya selepas 7 atau 8 perlawanan, barulah nama saya tersenarai dalam kesebelasan utama. Dan apa yang kelakarnya bagi saya, selepas satu perlawanan, Karl-Heinz Weigang dan Dato’ Bakar, memanggil saya untuk mewakili skuad kebangsaan.

Dari saat itulah bermulanya perjalanan bola sepak saya. Saya bermain untuk pasukan kebangsaan dari tahun 1979 ke 1988 sehingga saya berjaya mengumpul 15 caps untuk pasukan negara. Namun selepas 3-4 tahun bermain untuk pasukan kebangsaan, saya mendapati bahawa ianya bukanlah sesuatu yang mudah. Kita mempunyai pemain-pemain berkualiti seperti Shukor Saleh, Khalid Ali, dan ramai lagi pada masa itu. Jadi, dipilih sebagai pemain simpanan pun sudah sesuatu yang sangat dibanggakan.

Di akhir karier saya sebagai pemain bola sepak, saya mula melibatkan diri dengan lebih jauh lagi di dalam bidang kejurulatihan apabila saya terus mendaftar dan mendapatkan lesen C, B dan A.

Permulaan babak karier jurulatih saya adalah apabila diberikan tanggungjawab sebagai jurulatih pasukan belia Negeri Sembilan sehingga kami berjaya memenangi liga belia masa itu. Kemudian, saya terus dilantik sebagai penolong ketua jurulatih untuk skuad utama.

Perubahan terbesar dalam karier saya sebagai seorang jurulatih pada masa itu adalah apabila saya satu-satunya jurulatih dari dalam negara yang terpilih sebagai salah seorang jurulatih yang dipercayai untuk diberi tanggungjawab memikul dan membawa pasukan belia di peringkat dunia pada tahun 1997. Apa yang menarik, boss saya sekarang, Dato’ Rauf, adalah salah seorang pemain didikan saya pada masa itu.

Sepanjang karier saya, saya pernah menjadi pembantu jurulatih kepada 7 orang jurulatih antarabangsa. Saya juga beranggapan yang saya sangat beruntung kerana telah dihantar untuk bersama dengan beberapa kelab di luar negara, dihantar untuk menyertai banyak kursus kejurulatihan peringkat antarabangsa di mana saya telah memperolehi Diploma dari negara Brazil, dan Lesen Jurulatih dari negara Jerman. Saya juga telah berjaya melalui dua batch UEFA Pro-License. Ini sedikit sebanyak telah memberi saya pengalaman dan banyak mengajar saya.

Permulaan terbesar saya sebagai ketua jurulatih adalah apabila FAM melantik saya untuk mengendalikan skuad B23 kebangsaan dan kita telah berjaya memenangi Kejohanan Bola Merdeka sebelum Presiden FAM pada masa itu, Sultan Pahang, melantik saya sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan.

Selama hampir 3 tahun melalui onak dan duri bersama pasukan kebangsaan, saya akhirnya dipecat. Kemudian, sejurus lepas itu, saya menerima panggilan dari Tan Sri Anuar Musa, dengan tawaran untuk membantu Kelantan FA.

Pada tahun 2009 iaitu tahun pertama saya bersama Kelantan, kami berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia namun kalah kepada pasukan Negeri Sembilan. Pada tahun 2010, kami berjaya menjulang Piala Malaysia.

Itu adalah pertama kali dalam sejarah pasukan Kelantan di mana pasukan itu berjaya memenangi kejuaraan di peringkat liga Malaysia dan juga menjadi penanda aras kepada permulaan era emas Kelantan. Kemudian saya digantung oleh FAM selama 6 bulan dan atas sebab ini, saya tidak dapat terus bersama mereka untuk musim 2011. Meskipun begitu, saya telah dilantik sebagai Youth Director untuk pasukan Kelantan pada tahun tersebut.

Sebelum tamat musim 2011, saya telah menerima satu panggilan daripada ATM. Objektif yang diberikan oleh ATM kepada saya pada masa itu cuma satu, keluarkan mereka dari Liga Perdana dan bawa ATM ke Liga Super. Saya menyahut cabaran itu, dan kami berjaya menjadi juara Liga Perdana pada tahun tersebut, dan seterusnya menyertai Liga Super. Pada tahun 2012, kami di ATM turut layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia, tetapi kami kalah kepada pasukan Kelantan.

Selepas 3 tahun bersama ATM, saya mendapat tawaran seterusnya daripada Felda United yang pada masa itu telah bermula dengan jurulatih yang lain, tetapi selepas 5 perlawanan, mereka memberitahu saya yang mereka ingin melantik saya sebagai ketua jurulatih Felda United.

Saya dapat katakan yang ianya adalah salah satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan sepanjang karier saya kerana pada masa itu, Felda berada ditangga terbawah liga, tetapi pada akhir musim, kami berjaya bangkit sehingga menamatkan musim sebagai antara Top 3 Teams dalam liga.

Meskipun Felda United kalah di separuh akhir Piala Malaysia, ianya tetap satu musim yang baik. Namun atas sebab-sebab tertentu, pada tahun berikutnya, Felda digugurkan dari Liga Super, tetapi saya tetap terus bersama mereka, membantu mereka menjuarai Liga Perdana, dan kembali ke Liga Super sekali lagi.

Kini saya bersama pasukan Selangor. Pasukan yang penuh dengan sejarah dan kualiti tersendiri. Azam saya kali ini adalah untuk mengembalikan aura Red Giants dan kegemilangan pasukan Selangor untuk para penyokong Selangor.

Objektif saya untuk pasukan Selangor sekarang hanya satu. Menang.

B.Satiananthan,
Ketua Jurulatih Selangor, Bekas Pemain Bolasepak, Bekas Pegawai Bank, Jurulatih Terbaik Kebangsaan 2010, 2012, 2017, Suami, Bapa.

 

NOTIS: Sekiranya anda mempunyai kisah individu yang menarik dan ingin anda kongsikan di dalam siri Wajah Bola Selangor ini, sila hubungi kami di laman media sosial, Facebook atau Twitter.

 

Baca kisah sebelum ini:

Wajah Bola Selangor – Abiinaya Joti

Wajah Bola Selangor: Rosnani Abd Wahid

Wajah Bola Selangor: Felicia Adele Ng

Wajah Bola Selangor: Zainal Nordin

 

.