Wajah Bola Selangor: Gobinathan A/L Arumugam

Wajah Bola Selangor: Gobinathan A/L Arumugam

Nama saya Gobinathan A/L Arumugam. Saya berasal daripada Sungai Petani, Kedah namun pada umur 18 tahun saya telah berpindah ke Kuala Lumpur dan kini menetap di Sungai Buloh.

Saya dilahirkan pada 5 Februari 1981, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Di FA Selangor saya bekerja secara separuh masa sebagai masseur manakala kerja hakiki saya adalah sebagai anggota polis.

Saya berpangkat Koperal di Balai Polis Bukit Aman.

Sudah hampir 15 tahun saya bertugas sebagai anggota polis apabila saya mula menyertainya pada umur 23 tahun.

Mungkin ramai tertanya-tanya bagaimana saya sebagai seorang anggota, namun masih lagi mampu untuk menjadi masseur.

Di Bukit Aman, saya bertugas di bahagian pentadbiran. Jadi saya berkerja mengikut waktu berkerja seperti di pejabat.

Oleh disebabkan itu saya mampu untuk membahagikan masa saya sebagai anggota polis serta seorang masseur .

Juga sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan saya fokus di dalam kedua-dua kerja yang saya lakukan ini.

Karier sebagai masseur saya bermula pada tahun 2011 bersama pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Saya bersama pasukan ATM selama enam tahun sebelum berpindah ke pasukan Felda United pada tahun 2016.

Di Felda United, saya berkhidmat selama dua tahun dan pada 2019, saya bersama pasukan Selangor.

Untuk bidang ini, saya mempunyai sijil tahap 1 dalam “Sport Massage”.

Sebenarnya saya mengikut jejak langkah ayah saya dalam bidang masseur ini.

Ayah saya merupakan pembantu hospital dan beliau suka untuk membantu orang.

Oleh disebabkan itu, saya berminat menjadi masseur yang merupakan salah satu cara untuk saya membantu orang dengan cara memberikan rawatan melalui urutan.

Selain itu saya sangat meminati bola sepak. Sewaktu saya sekolah dulu saya sangat aktif dalam sukan bola sepak.

Jadi menjadi masseur untuk pasukan bola sepak adalah perkara yang saya minati.

Ianya merupakan penggabungan dua perkara yang saya minati iaitu sukan bola sepak dan membantu orang lain.

Rutin harian saya adalah sewaktu pagi, saya terlebih dahulu melaporkan diri di Balai Polis Bukit Aman.

Kemudiannya selepas tamat bekerja di waktu petang, saya akan terus bergerak ke Pusat Latihan FA Selangor bagi sesi latihan.

Sebagai masseur, saya bertanggungjawab untuk mengurut pemain bagi memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan yang segar untuk menjalani latihan dan juga perlawanan.

Pengalaman manis sepanjang saya bekerja sebagai masseur adalah pada ketika saya sempat merasai suasana Piala AFC sewaktu bersama pasukan Felda.

Juga, saya pernah menjadi juara Liga Perdana bersama pasukan Felda pada tahun 2018 dan pernah layak ke semi final Piala Malaysia.

Selain itu, bersama pasukan ATM, kami pernah menjadi juara Liga Perdana pada tahun 2012 dan layak ke peringkat akhir Piala Malaysia menentang pasukan Kelantan.

Memori sewaktu kecil yang saya tidak boleh lupakan adalah ketika saya dan rakan-rakan saya sanggup kayuh basikal sejauh 13km semata-mata untuk mandi air terjun di Tupah.

Jika ditanya pula siapa idola saya, saya boleh katakan ianya adalah Coach B. Satiananthan.

Beliau merupakan seorang yang sangat berdisiplin, sentiasa berterus-terang jika mempunyai sebarang masalah, dan sentiasa membantu saya jika saya dilanda masalah.

Cuma jangan curi tulang sahaja sewaktu berkerja dengan dia kerana bagi dia, ianya sangat tidak profesional.

Selain itu, isteri saya juga merupakan idola saya.

Beliau sentiasa menyokong saya dalam kehidupan dan karier saya. Sewaktu suka dan duka, beliaulah orang yang sentiasa berada di samping saya.

Yang terakhir, ingin saya nasihatkan kepada semua, dalam kehidupan ini, elakkanlah daripada sentiasa menangguhkan kerja anda.

Kerana ianya akan memberikan impak negatif dalam kehidupan anda.

Juga, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada FA Selangor yang banyak membantu saya, dan selamat maju jaya kepada pasukan Red Giants dalam saingan Piala Malaysia 2019.