Wajah Bola Selangor: Halimi Yusoff

Wajah Bola Selangor: Halimi Yusoff

Wajah Bola Selangor: Halimi Yusoff

Wajah Bola Selangor merupakan koleksi temubual dan kisah-kisah individu yang dirakamkan dari padang, stadium, bandar, lebuh dan jalanan, bagi membawa di sebalik tabir kehidupan mereka yang merupakan sebahagian daripada dunia bola sepak Selangor.

____________________

Nama saya Halimi Yusoff. Saya berasal daripada Kuantan, Pahang dan dilahirkan pada tanggal 22 Januari 1976. Kini saya berumur 43 tahun. Saya merupakan anak sulung daripada 3 beradik. Kedua-dua adik di bawah saya dalah perempuan.

Selepas tamat persekolahan saya melanjutkan pelajaran dalam jurusan sastera Inggeris di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) untuk ijazah sarjana muda.

Kerana minat yang mendalam dalam bidang sukan, saya memutuskan untuk mengambil semula diploma dalam jurusan sains sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Di Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), saya merupakan masseur bagi pasukan Liga Super Selangor. Tugas saya adalah untuk mengurut pemain-pemain sewaktu latihan dan juga sewaktu perlawanan.

Selain itu saya juga akan mengadakan sesi pemulihan bagi pemain yang baru sahaja pulang daripada kecederaan sebelum mereka menjalani latihan bersama pasukan.

Saya memulakan karier saya bersama FAS pada tahun 2006. Namun sebenarnya karier saya bermula pada tahun 2002 sewaktu saya mula menyertai pasukan MMPJ FC shingga tahun 2004. Namun pada ketika itu tugasan saya lebih kepada fisioterapi. Selepas itu saya mula menyertai Selangor.

Pada tahun 2012 hingga 2017 saya keluar sebentar daripada FAS untuk menyertai Felda United dan pada tahun 2017, saya kembali semula ke Selangor.

Bagaimana semuanya bermula? Karier saya dalam bidang sukan ini bermula sewaktu saya berada di UiTM. FAS pada ketika itu mengadakan program melibatkan sains sukan bersama UiTM dan saya berjaya mendapat peluang secara hands-on dan ianya sangat berguna.

Dengan pengalaman tersebutlah saya berjaya melayakkan diri untuk berkerja bersama pasukan MPPJ FC.

Sebagai seorang masseur, rutin harian saya sewaktu hari bekerja adalah datang awal dua jam sebelum sesi latihan bermula.

Saya akan memantau dahulu perkembangan pemain-pemain yang cedera dan menyediakan keperluan untuk pemain-pemain ini. Juga saya akan mengurut pemain-pemain sebagai persedian sebelum sesi latihan.

Bila berkata tentang diri saya ini, saya akui saya seorang yang perfectionist. Saya tidak gemar untuk menangguh sesuatu kerja dan jua perkara yang tidak teratur.

Malahan, di rumah juga kadang-kadang saya berselisih faham dengan isteri saya oleh kerana perkara ini.

Bercakap mengenai pengalaman manis pula, sudah tentu memenangi Piala Malaysia bersama pasukan MPPJ FC pada tahun 2003 tidak akan saya lupakan.

MPPJ FC juga merupakan pasukan yang berstatus kelab yang pertama yang berjaya meraih kejuaraan tersebut.

Akhir kata daripada saya, saya berharap semua kerja-kerja dan juga budi yang saya taburkan selama ini dihargai. Semoga apa yang saya lakukan ini menjadi sesuatu yang bermakna.

Juga, nasihat saya kepada semua, kita janganlah terlalu mementingkan diri. Cubalah untuk memudahkan urusan orang lain. InsyaAllah, apabila kita membantu orang lain, mereka akan membantu kita semula.