WAJAH BOLA SELANGOR: Lim Chan Yew (Bahagian 1)

WAJAH BOLA SELANGOR: Lim Chan Yew (Bahagian 1)

Wajah Bola Selangor merupakan koleksi temubual dan kisah-kisah individu yang dirakamkan dari padang, stadium, bandar, lebuh dan jalanan, bagi membawa di sebalik tabir kehidupan mereka yang merupakan sebahagian daripada dunia bola sepak Selangor.

————

Untuk permulaan, eloklah saya kenalkan diri saya dahulu.

Nama saya Lim Chan Yew dan merupakan “Head of Scouting” dan juga penolong jurulatih ketiga bagi pasukan Selangor.

Saya baru sahaja menyertai barisan kejurulatihan pasukan Red Giants pada musim ini.

Sebagai merupakan “Head of Scouting” dan juga penolong jurulatih ketiga, saya akan pergi merisik permainan pasukan lain dan akan pulang melaporkannya kepada ketua jurulatih iaitu B. Satiananthan.

Saya dilahirkan di Kuala Lumpur dan sekarang menetap di Gombak selama 36 tahun di tempat yang sama dan rumah yang sama.

Saya bersekolah rendah di SK Sri Gombak dan bersekolah menengah di SMK Seksyen 11 Shah Alam.

Kali pertama saya mula jatuh cinta dengan sukan bola sepak adalah pada ketika saya di sekolah rendah lagi, umur waktu itu 10 tahun.

Waktu itu, semua jenis sukan saya main tapi sukan bola sepak adalah sukan yang saya paling menyerlah.

Namun pada awalnya agak sukar kerana ayah saya tidak begitu menyokong kerana beliau merupakan pengadil antarabangsa bagi sukan bola tampar.

Jadi beliau mahukan saya bermain sukan bola tampat dan bukannya bola sepak.

Sewaktu kecil-kecil memang saya suka bermain bola.

Ada satu padang di rumah saya dahulu, memang menjadi tempat lepak kami.

Namun kini padang itu telah tiada kerana mereka telah membina dewan di atasnya.

Apabila saya mula menyertai sekolah projek tersebut (SMK Seksyen 11), pada ketika itulah saya mula bermain secara serius dan mula menanam semangat untuk menjadi pemain bola.

Di sekolah tersebut, saya begitu aktif kerana sekolah saya giat terlibat dalam kejohanan bola sepak.

Saya pernah bermain bersama sekolah tersebut bagi mewakili Selangor dalam kejohanan Piala Milo di Kelantan, Piala Razak di Ipoh, Piala Rahman dan juga Piala Coca Cola.

Saya sangat gembira kerana ayah saya sudah mula menyokong saya bermain bola.

Ayah dan ibu saya akan datang pada setiap perlawanan saya dan menyokong saya.

Lebih manis, mereka membeli perakam video untuk merekod permainan saya.

Sehingga sekarang, saya masih lagi menyimpan video tersebut.

Saya banyak belajar bola sepak sewaktu di bangku sekolah.

Pada umur 16 tahun, saya dirisik oleh Coach Lim Chuan Chin untuk bermain bersama skuad olimpik Malaysia.

Tetapi pada ketika itu, saya mengalami kecederaan di bahagian buku lali dan saya terpaksa menolak.

Kemudian saya mencuba pula untuk menyertai skuad kebangsaan melalui pemilihan untuk Piala Dunia Remaja.

Beratus-ratus pemain datang untuk pemilihan, saya dipilih sebagai pemain terbaik dan sebulan selepas itu, saya mendapat tawaran untuk bermain bersama pasukan kebangsaan.

Selain saya, Badrul Zaman dan juga Amir Ali adalah pemain daripada sekolah saya yang turut dipilih.

Bersama skuad Piala Dunira Remaja ini, banyak perkara yang kami belajar dan banyak tempat yang kami sudah terokai.

Pada ketika itu juga, penolong jurulatih pasukan saya adalah Coach B. Satiananthan.

Jikalau saya nak ceritakan semua pengalaman saya bersama skuad Piala Dunia Remaja, tidak cukup sehari.

 

Bersambung…

P/S: Kisah mengenai Lim Chan Yew akan bersambung di Bahagian 2 pada minggu hadapan.

Baca lagi:
Baca lagi: