WAJAH BOLA SELANGOR: Lim Chan Yew (Bahagian 2)

WAJAH BOLA SELANGOR: Lim Chan Yew (Bahagian 2)

Wajah Bola Selangor merupakan koleksi temubual dan kisah-kisah individu yang dirakamkan dari padang, stadium, bandar, lebuh dan jalanan, bagi membawa di sebalik tabir kehidupan mereka yang merupakan sebahagian daripada dunia bola sepak Selangor.

————

Bercerita mengenai karier professional pula, saya mula bermain bersama pasukan Selangor pada tahun 1999.

Namun saya terlebih dahulu dipanggil pada tahun 1998 oleh Dato’ Hamidin pada ketika itu bersama-sama Datuk Rauf, yang kini merupakan pengurus pasukan Liga Super musim ini.

Pada tahun pertama saya, Selangor bermain di liga Divisyen 2 yang dikendalikan pada mulanya oleh Mike Pejic namun kemudian digalas oleh Datuk K Rajagobal pada pertengahan musim.

Kami bermain dengan baik pada tahun itu dan berjaya dinaik taraf ke Liga Perdana 1 selepas meraih tempat kedua Liga Divisyen 2.

Alhamdulillah bersama Selangor saya berjaya meraih kejuaraan seperti juara Liga Perdana, Piala FA, Piala Sumbangsih, Piala Malaysia dan banyak lagi.

Karier bersama pasukan Harimau Malaya pula bermula pada tahun 2000 meskipun dipanggil pada tahun 1999.

Kemudian pada tahun 2002, saya berpindah ke pasukan Negeri Sembilan.

Bukan saya sahaja tapi seramai enam orang pemain Selangor berhijrah ke Negeri Sembilan pada ketika itu.

Seusai berhijrah ke Negeri Sembilan, kami berjaya membantu Negeri Sembilan menjulang Piala FA buat kali pertama selepas 50 tahun.

Kemudian saya bermain bersama pasukan Public Bank pada tahun 2003 dan berjaya menjadi juara Liga Perdana 2 dan naib juara Liga Super Malaysia pada tahun 2004.

Pada ketika itu saya masih lagi bermain bersama pasukan kebangsaan dan nasib menyebelahi saya apabila terpilih untuk menjalani sesi percubaan di England bersama pasukan AFC Bournemouth.

Selain saya, dua pemain lain terpilih iaitu Syamsuri Mustafa dan Fadzli Saari.

Kami berkelana di sana selama tiga minggu.

Namun pada mulanya sesi itu tidak membantu kami bertiga kerana Bournemouth sedang bermain di pertengahan liga dan kami tidak dibenarkan untuk menyertai sesi latihan mereka.

Jadi kami hanya memerhatikan mereka di tepi padang sahaja.

Kadang-kadang kami hanya menjadi benteng waktu sesi latihan sepakan percuma sahaja.

Namun apa yang dapat kami belajar, mereka ini sangat profesional dan dapat mengenali bagaimana keghairahan mereka untuk sukan bola sepak.

Selepas itu kami bertiga pulang dan pada tahun 2005, saya ditawarkan peluang sekali lagi untuk menjalani sesi latihan kedua bersama pasukan Bournemouth.

Tetapi kali ini saya seorang sahaja yang ditawarkan dan saya akan bermain sebanyak tiga perlawanan pra-musim bersama mereka.

Dek kerana ada tragedi pengeboman London, saya terpaksa tangguh sebentar penerbangan saya atas faktor permintaan ibu saya.

Kali ini sekali lagi saya berkelana di negara Ratu Elizabeth itu selama tiga minggu.

Berlainan dengan sebelum ini, saya keseorangan dan juga tiada pegawai pengiring yang mengiring saya.

Jadi saya ke lapangan terbang berseorangan, di sana berseorangan, boleh dikatakan ini cabaran terbesar untuk saya.

Setibanya saya di Lapangan Terbang Heathrow, saya perlu mengambil pula bas ke Bournemouth. Sekali lagi tiada siapa menjemput saya dan perjalanan tersebut mengambil masa dua jam.

Kemudian saya berjumpa dengan pegawai media Bournemouth di situ yang sedang menunggu saya di hotel.

Nasib malang kembali menimpa saya apabila hotel tersebut penuh namun mujur pegawai media kelab tersebut sudi menumpangkan saya di rumah beliau untuk satu malam.

Esoknya saya bertanya kepada pegawai tersebut adakah beliau akan menghantar saya setiap hari ke padang latihan.

Beliau cakap tidak. Kerana dia perlu ke pejabat untuk bekerja.

Tetapi beliau menyediakan sebuah basikal yang tayarnya sudah pancit untuk saya gunakannya ke padang latihan.

Jadi saya pergi pekan pada keesokannya untuk membaiki basikal tersebut dan setiap hari saya mengayuh basikal ke padang latihan selama 20 minit.

Lagi menarik, selama tiga minggu saya berada di situ, cuaca begitu sejuk meskipun musim panas.

Mereka panggil cuaca tersebut pada ketika itu adalah musim panas yang lembab.

Jadi selama tiga minggulah saya mengayuh basikal dalam kesejukan.

Tetapi saya berbanggalah kerana saya berlatih bersama nama-nama besar seperti Theo Walcott yang pada ketika itu berumur 16 tahun.

Yang mana sebulan selepas itu, Walcott berhijrah ke Arsenal.

Sewaktu di sana, antara pasukan yang kami bertembung semasa pra-musim tersebut adalah West Bromwich Albion, Portsmouth FC dan Charlton Athletic,

Pada perlawanan kedua menentang Christchurch F.C., saya diberitahu oleh jurulatih yang saya tidak boleh diturunkan atas faktor saya tiada permit kerja.

Jikalau saya diturunkan, dan sekiranya FA England mengetahui perkara ini, pasukan saya akan didenda £20,000 bersamaan dengan RM150,000 pada ketika itu.

Jadi pada keesokan harinya, saya membawa computer riba saya ke pekan dengan menaiki basikal.

Bersambung…

 

P/S: Kisah mengenai Lim Chan Yew akan bersambung di Bahagian 3 pada minggu hadapan.

Baca lagi: https://redgiants.faselangor.my/wajah-bola-selangor-lim-chan-yew-bahagian-1/
Baca lagi: https://redgiants.faselangor.my/wajah-bola-selangor-mohammad-nor-ashraff-amran/