Wajah Bola Selangor Merdeka: Buang Makdol

Wajah Bola Selangor Merdeka: Buang Makdol

Berbeza dengan Wajah Bola Selangor yang lalu, kali ini FA Selangor membawakan kepada anda pemegang kad bermusim Red Giants yang tertua dan lahir tujuh tahun sebelum merdeka.

——————————

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Nama saya Buang Makdol dan merupakan penyokong pasukan Selangor bermula pada tahun 70-an lagi.

Lahir pada 12 Ogos 1949 iaitu lapan tahun sebelum merdeka, saya merupakan pemegang kad bermusim yang paling tua di dalam rekod FA Selangor.

Saya sudah berkeluarga dan dikurniakan dua orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan.

Saya merupakan anak jati Klang, Selangor dan dibesarkan di sini sudah hampir 70 tahun.

Saya mula menyokong pasukan Selangor pada tahun 70-an kerana pengaruh orang tua saya yang pada ketika itu amat meminati sukan bola sepak tanah air.

Segalanya berbeza dengan kini. Dahulu masuk percuma, sekarang perlu membeli tiket.

Pada ketika itu juga, tiada perlawanan bola sepak yang ditayangkan di kaca televisyen.

Jika mahu tengok bola, perlu datang stadium. Stadium pula jauh, namun atas faktor minat yang mendalam, saya gagahkan juga diri untuk pergi.

Saya masih lagi ingat ketika dahulu, setiap kali saya menyaksikan perlawanan Selangor di Stadium Merdeka, sebaik sahaja tiupan wisel penamat dibunyikan, saya akan bergegas lari ke stesen bas kerana takut akan terlepas bas yang terakhir.

Selain daripada menaiki bas, saya juga sering ke stadium menaiki motor secara beramai-ramai ke stadium dan ianya juga merupakan kenangan manis bagi saya.

Kami sama-sama berkumpul di Stadium Shah Alam dan menyaksikan perlawanan Selangor serta bersama-sama menjerit memberikan sokongan kepada para pemain.

Malahan, saya juga pernah menyaksikan perlawanan Selangor di Stadium TPCA yang merupakan kubu Selangor sebelum berpindah ke Stadium Merdeka.

Selain daripada pergi ke stadium, saya juga sering ke pusat latihan Selangor yang pada ketika itu bertapak di Kelana Jaya.

Sempat juga saya meilhat Ken Worden melatih anak buahnya sebagai persiapan untuk perlawanan.

Pada ketika itu pemain-pemain yang bermain adalah legenda bola sepak negara seperti Dato’ Mokhtar Dahari, Dato’ R. Arumugam, Dato’ Santokh Singh dan juga Dato’ Soh Chin Aun.

Jikalau saya diberikan peluang untuk kembali ke masa silam untuk menyaksikan salah satu perlawanan Selangor, sudah pasti saya akan kembali ke zaman kegemilangan Selangor yang dianggotai oleh pemain-pemain ini.

Ia merupakan satu pengalaman yang generasi masa kini terlepas dan tidak akan dapat untuk merasainya. Ia juga merupakan satu memori yang terbaik bagi saya.

Selangor mempunyai skuad yang kuat pada ketika itu dan sukar untuk tewas.

Mana-mana pasukan yang turun menentang pasukan Selangor, pasti sukar untuk mencapai kemenangan dan saya begitu berbangga dengan skuad Merah Kuning ini.

Pemain pasukan Selangor yang paling saya kagumi adalah arwah Dato’ Mokhtar Dahari. Manakala untuk skuad hari ini, saya mengagumi Amri Yahyah.

Kedua-dua pemain ini mempunyai personaliti yang tersendiri dan mereka sentiasa mempamerkan prestasi yang terbaik di atas padang.

Sepanjang menyokong pasukan Selangor, perkara yang paling tidak boleh saya lupakan adalah ketika Selangor disingkirkan untuk bermain di Liga Perdana 2 pada tahun 1998.

Bagi saya ianya merupakan kenangan pahit yang sukar untuk saya lupakan dan sukar untuk saya terima.

Namun kini semuanya telah berubah ke arah yang lebih baik dan pengurusan baharu FAS ini begitu menarik dan sentiasa melakukan yang terbaik untuk pemain dan penyokong.

Barisan pengurusan FAS yang kini diterajui oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah telah melakukan satu usaha yang luar biasa.

Saya berharap pasukan Selangor akan kembali ke zaman kegemilangannya semula dan digeruni oleh semua pasukan.

Akhir kata, semoga Selangor akan semakin maju kehadapan dan sentiasa memberikan yang terbaik untuk pemain dan peminat.

Terima kasih.

 

Buang Makdol
Seorang penyokong tegar Merah Kuning dan pemegang pas bermusim tertua FA Selangor.