WAJAH BOLA SELANGOR: Mohammad Nor Ashraff Amran

WAJAH BOLA SELANGOR: Mohammad Nor Ashraff Amran

Wajah Bola Selangor merupakan koleksi temubual dan kisah-kisah individu yang dirakamkan dari padang, stadium, bandar, lebuh dan jalanan, bagi membawa di sebalik tabir kehidupan mereka yang merupakan sebahagian daripada dunia bola sepak Selangor.

 

————

 

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca.

 

Sebelum saya bercerita lebih jauh, adalah lebih baik untuk saya kenalkan diri saya dahulu.

 

Nama saya Mohammad Nor Ashraff bin Amran.

 

Di FA Selangor, saya merupakan seorang fisio bagi skuad Belias Selangor ataupun skuad bawah 18 tahun.

 

Saya kini menetap di Kajang, Selangor namun saya dilahirkan di Hospital Taiping, Perak.

 

Sebabnya saya lahir di Taiping adalah kerana emak saya adalah orang Taiping.

 

Merupakan anak ketiga daripada tujuh adik beradik.

 

Saya kini berumur 26 tahun dan lahir pada 4 September 1993.

 

Saya mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Segamat, Kajang.

 

Bercerita mengenai sekolah rendah, banyak memori manis yang saya ingat daripada dulu sehingga sekarang.

 

Ketika kecil dahulu saya memang seorang yang degil.

 

Rutin saya pada hari hujung minggu adalah bangun awal pagi, dan menonton rancangan kartun kegemaran saya iaitu Dragon Ball.

 

Yang paling saya ingat adalah nasi goreng yang dimasak oleh mak saya pada ketika itu.

 

Kami satu keluarga makan nasi goreng mak saya itu, sambal menonton Dragon Ball.

 

Sebaik habis sahaja rancangan tersebut, saya akan keluar mncari cacing sebagai bekalan umpan untuk sesi memancing.

 

Saya dan rakan saya akan keluar pergi memancing dari pagi, dan pada waktu petanglah kami baru menunjukkan muka di depan pintu rumah.

 

Kemudian, saya bersekolah menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang.

 

Bermula dari situlah saya mengenali cabang pembelajaran Sains Sukan ataupun lebih dikenali dengan Sport Science.

 

Di situ saya mula belajar mengenai sains yang khusus untuk sukan yang kini saya sedang praktikkan.

 

Pada zaman sekolah menengah juga, saya amat aktif dalam bidang sukan.

 

Sebut sahaja sukan apa, semua saya sertai.

 

Namun sukan bola sepak dan sukan sofbol adalah sukan yang saya berjaya pergi jauh.

 

Untuk sukan sofbol, saya berjaya menjadi wakil Selangor bagi saingan Majlis Sukan Sekolah dan juga SUKMA.

 

Kali pertama saya menyertai SUKMA ialah pada tahun 2011 dan kami berjaya menjadi juara.

 

Manakala kali kedua adalah pada tahun 2013 di mana kami tewas di peringkat kumpulan.

Selepas sahaja habis persekolahan, saya tidak berminat dan tidak mempunyai pelan untuk menyambung pelajaran.

 

Fokus saya adalah untuk menjadi atlet bola sepak.

 

Saya bermain bersama pasukan Majlis Perbandaran Kajang untuk Liga Perdana Selangor.

 

Pernah sekali saya hadir ke sesi percubaan untuk menjadi pemain presiden Selangor namun tidak berjaya selepas gagal di ujian yang terakhir.

 

Selepas itu, baru saya mula berfikir untuk menyambung pelajaran.

 

University of Kuala Lumpur Royal Maxim College Perak (UniKL RMCP) adalah destinasi yang saya telah pilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma in Physiotherapy pada tahun 2012.

 

Saya menamatkan pembelajaran saya tiga tahun kemudian iaitu pada tahun 2015 dan ditawarkan untuk bekerja sebagai seorang fision di Econ Medicare Centre.

 

Tugas saya di situ adalah menjaga dan membantu golongan emas yang mengalami strok dan sebagainya untuk kembali ke tahap kesihatan sepenuhnya.

 

Tiga tahun kemudian, saya ditawarkan untuk bekerja di FA Selangor selepas bekas pensyarah saya yang kebetulan bekerja di sini iaitu Wan Rosli Wan Yusoff memberitahu saya ada kekosongan di FAS.

 

Jadi saya datang untuk sesi temuduga dan alhamdulillah saya ditawarkan bekerja di sini untuk pasukan presiden Selangor. .

 

Sebagai seorang fisio yang masih lagi muda, banyak perkara yang perlu saya belajar.

 

Tambahan pula, sebelum ini saya bertugas sebagai fisio di bidang yang lain.

 

Di sini saya bekerja sebagai fisio yang khususnya untuk sukan.

 

Tetapi alhamdulillah, jurulatih saya iaitu Coach Zaidi banyak membantu dan mengajar saya.

 

Beliau adalah orang yang bertanggungjawab menjadikan sebagaimana saya kini.

 

Selain beliau, rakan-rakan sekerja saya juga banyak memberikan semangat untuk saya sentiasa bekerja dan memberikan yang terbaik.

 

Banyak cabaran yang telah saya alami sepanjang saya bekerja di sini dan saya mengambil kesemuanya sebagai pengajaran agar menjadi yang lebih baik pada masa akan datang.

 

Akhirnya, ingin saya tekankan dalam hidup ini, hormat-menghormati adalah perkara yang sangat penting tak kira di mana kita berada.

 

Seperti di sini, meskipun jarak umur di antara saya dan pemain tidak begitu jauh, namun kami mampu bekerja dengan professional kerana saling hormat menghormati.

 

Semoga perkara ini akan terus kekal dan semoga perkara ini akan menjadikan saya dan orang di sekitar saya lebih baik dan lebih berguna.

 

 

Mohammad Noor Ashraff Amran

Seorang fisio, pemancing tegar dan seorang pemegan pingat emas SUKMA

 

Baca juga: https://redgiants.faselangor.my/wajah-bola-selangor-coach-lim/

Baca juga: https://redgiants.faselangor.my/wajah-bola-selangor-rusdi-suparman-part-1/