Wajah Bola Selangor : Mohana Sundram

Wajah Bola Selangor : Mohana Sundram

Wajah Bola Selangor merupakan koleksi temubual dan kisah-kisah individu yang dirakamkan dari padang, stadium, bandar, lebuh dan jalanan, bagi membawa di sebalik tabir kehidupan mereka yang merupakan sebahagian daripada dunia bola sepak Selangor.

 


Nama saya Mohana Sundram. Saya dilahirkan di Taiping, Perak tapi dibesarkan di Alor Setar, Kedah. Lahir pada 2 Disember 1956, saya kini berumur 63 dan mempunyai 3 orang anak. Kesemuanya adalah anak lelaki.

Saya bersekolah rendah di Sekolah King Edward VII, Taiping dah bersekolah menengah di St Michael School Alor Setar dan di sinilah bermula karier bola sepak saya.

Sebenarnya, minat saya bukanlah menjadi pemain bola sepak pada mulanya. Sebaliknya saya lebih berminat untuk menjadi atlet. Saya banyak menyertai acara lari pecut dan juga jarak jauh.

Namun pada satu ketika, saya dipilih untuk mewakili sekolah bermain bola sepak. Di waktu itulah saya teruja melihat rakan sepasukan saya yang merupakan penjaga gol bernama Ikmal Hisyam.

Saya seronok melihat skil yang dipamerkan oleh Ikmal. Layangan badan beliau, cara beliau menepis bola dan sebagainya. Dari situ saya mula berminat untuk menjadi penjaga gol dan bermain bola sepak secara serius.

Sebagai pemain, saya pernah bermain untuk pasukan Cholan United, Pasukan Bola Sepak India Selangor dan Malaysia, Selangor B, Selangor, PKNS FC dan juga Malaysia B.

Di PKNS, saya bermain di samping Mokhtar Dahari, Santokh Singh dah juga R. Arumugam.

Dunia kejurulatihan saya bermula pada tahun 2004. Setahun selepas itu saya menjadi jurulatih penjaga gol bagi pasukan wanita Malaysia.

Seterusnya tahun 2006, B. Satiananthan memanggil saya untuk menyertai beliau mengemudi pasukan kebangsaan B23 dan berjaya menjadi juara Pesta Bola Sepak Merdeka pada tahun 2007.

Rutin harian sebagai jurulatih penjaga gol Selangor, saya akan datang awal selalunya sejam atau setengah jam awal untuk melakukan persiapan.

Sebelum itu, saya perlu persiapkan dahulu apa yang ketua jurulatih iaitu B. Satiananthan perlukan untuk sesi latihan harian.

Dalam hidup saya, anak saya adalah motivasi saya. Beliau merupakan anak saya yang ketiga dan merupakan anak istimewa.

Beliau kini berumur 16 tahun dan mengidap penyakit syndrome down sejak kecil. Sayalah yang bertanggungjawab untuk  menjaga beliau dari kecil sehingga kini.

Dia adalah segalanya bagi saya. Setiap hari saya akan terfikirkan anak saya. Sebelum latihan, selepas latihan, sentiasa saya fikirkan dia.

Sebagai jurulatih penjaga gol, cabaran yang saya lalui berbeza. Ramai yang mengatakan menjadi jurulatih penjaga gol adalah mudah.

Namun bagi memastikan penjaga gol yang merupakan benteng terakhir pertahanan sentiasa berada di tahap yang terbaik, bukanlah tugas mudah.

Saya bertanggungjawab untuk memastikan penjaga gol Selangor sentiasa bersedia untuk bermain bagi setiap perlawanan dan berada dalam tahap yang terbaik.

Bila berkata mengenai impian pula, saya ingin menjadi jurulatih yang sentiasa ada dengan pemainnya. Saya ingin menjadi contoh kepada anak buah saya.

Oleh sebab itu saya sentiasa memastikan saya juga berada dalam keadaan terbaik. Supaya ianya akan menjadi teladan untuk penjaga gol saya.

Yang terakhir, nasihat saya untuk sesiapa yang sudah pun menjadi penjaga gol atau ingin menjadi penjaga gol, ingatlah bahawa posisi penjaga gol sangatlah penting.

Penjaga gol merupakan orang pertama di barisan serangan dan orang terakhir di bahagian pertahanan.

Penyerang boleh terlepas banyak peluang untuk menjaringkan gol. Namun sekiranya satu gol dilepaskan oleh penjaga gol, beliau akan dikritik.

Jadi anda perlulah bersedia dari segi mental dan fizikal, dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi yang terbaik.

 

Mohana Sundram

Jurulatih Penjaga Gol Selangor, Bapa Penyayang dan Rakan Sepasukan Mokhtar Dahari.