WAJAH BOLA SELANGOR: NOOR ZAIDI ROHMAT

WAJAH BOLA SELANGOR: NOOR ZAIDI ROHMAT

Wajah Bola Selangor merupakan koleksi temubual dan kisah-kisah individu yang dirakamkan dari padang, stadium, bandar, lebuh dan jalanan, bagi membawa di sebalik tabir kehidupan mereka yang merupakan sebahagian daripada dunia bola sepak Selangor.

——————————————

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Nama saya Noor Zaidi Rohmat atau lebih mesra dengan panggilan Coach Zaidi.

Saya merupakan ketua jurulatih pasukan Belia Selangor bagi musim ini.

Bercerita sedikit mengenai latarbbelakang saya, saya merupakan anak jati Selangor.

Dilahirkan di Sabak Bernam, saya membesar di Petaling Jaya.

Saya sudah berkahwin dan alhamdulillah telah dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Sewaktu kecil, saya dibesarkan oleh ibu yang merupakan seorang ibu tunggal selepas ayah meninggal dunia ketika saya berumur tiga tahun.

Saya dibesarkan bersama seorang kakak dan tiga orang abang yang turut mendidik dan menjadi peneman sejak kecil.

Disebabkan itu, saya amat menyayangi mereka dan berterima kasih atas segala pengorbanan yang pernah mereka lakukan untuk saya.

Mereka adalah tulang belakang saya yang sentiasa menyokong karier bola sepak saya dari dulu sehingga kini.

Masih saya ingat, sewaktu bermain bola ketika kecil, saya pernah mengalami insiden yang menyebabkan tangan kiri saya patah.

Namun saya tidak memaklumkan kepada ibu saya dan meminta adik beradik saya untuk tidak memberitahu beliau kerana saya khuatir ibu akan risaukan saya.

Saya sudah berkhidmat hampir 9 tahun bersama FA Selangor. Pada mulanya, saya diberikan tugas sebagai seorang jurulatih kecergasan.

Kemudian, saya diberikan amanah sebagai penolong dan juga ketua jurulatih bagi skuad belia dan presiden.

Saya juga pernah menjadi penolong jurulatih skuad utama Selangor tetapi kini kembali mencurahkan ilmu kepada pasukan belia.

Saya mempunyai lesen kejurulatihan kelas A dan sepanjang saya menyertai dunia kejurulatihan, pelbagai perkara telah saya lalui.

Segala pengalaman, suka duka, pahit manis, kesemuanya telah rasai. Itu adalah asam garam dunia kejurulatihan, namun saya jadikan semua perkara tersebut sebagai satu cabaran untuk menjadi lebih baik.

Bercerita mengenai karier bola sepak saya pula, saya mula bermain bersama Selangor sejak berumur 14 tahun di Akademi Bola Sepak Selangor di bawah bimbingan jurulatih Reduan Abdullah.

(Foto oleh: Asiana.my)

Bermain di setiap kejohanan peringkat umur 14, 16, 18 dan 21 tahun. Saya berjaya memasuki pasukan utama sebagai aperantis pada tahun 2001 ketika berumur 19 tahun.

Antara perkara yang saya tidak lupakan adalah pada tahun 2000, saya dipanggil Datuk K. Rajagobal yang pada ketika itu merupakan ketua jurulatih Selangor untuk bermain beberapa perlawanan bersama pasukan utama.

Sepanjang bersama pasukan utama, saya berpeluang untuk bermain bersama di samping legenda Selangor seperti Zainal Abidin Hassan, Rusdi Suparman, Lim Chan Yew, Yusri Che Lah, Tengku Hazman Raja Hassan, Nidzam Jamil dan ramai lagi. Ia merupakan memori manis bagi saya.

Namun tempoh saya di pasukan utama Selangor tidak lama.

Pada tahun 2004, saya berpindah ke pasukan MPPJ FC dan hanya bermain untuk semusim sahaja selepas kecederaan.

Saya terpaksa berehat selama setahun dan m menyertai pasukan Proton FC pada tahun 2007 untuk saingan Piala FAM dan alhamdulillah kami berjaya menjadi juara.

Namun, disebalik kejayaan tersebut, saya sekali lagi mengalami kecederaan dan bermula dari situ saya mula membuat keputusan untuk tidak lagi bermain bola.

Jujur saya katakan, pada ketika itu, saya begitu kecewa dan hampir berputus asa dalam sukan bola sepak.

Namun bolasepak telah menjadi sebahagian dari diri saya, diatas sokongan kuat isteri dan keluarga, saya memutuskan untuk menceburi bidang kejurulatihan dan mula mengambil lesen C pada tahun 2009 ketika berumur 27 tahun.

Pada tahun 2015, saya berjaya memperoleh lesen A dalam bidang kejurulatihan dan saya merupakan antara pemegang lesen termuda pada ketika itu umur saya 33 tahun.

Alhamdulillah, sebagai seorang ketua jurulatih, saya berjaya menjadi juara Piala Belia pada tahun 2015 iaitu pada tahun pertama saya menjadi ketua jurulatih.

Pada tahun seterusnya, pasukan saya sekali lagi berjaya menjejakkan kaki ke perlawanan akhir Piala Belia namun gagal untuk mempertahankannya.

Biarpun demikian, saya tetap berbangga dengan pencapaian tersebut.

(Foto oleh: Asiana.my)

Saya juga berbangga kerana beberapa pemain yang pernah saya bimbing kini bermain bersama skuad utama seperti K. Sarkunan, Faizzudin Abidin, Amirul Ashraf dan ramai lagi.

Pada pendapat saya, tugas jurulatih di pasukan pembangunan remaja di peringkat umur 17-21 tahun bukan hanya mendapatkan kejuaraan tetapi lebih kepada memberi pendedahan sebaiknya dalam aspek latihan dan perlawanan.

Kami juga penyambung dari apa yang pemain-pemain ini berlatih di sekolah bersama jurulatih terdahulu juga guru-guru yang mengajar.

Oleh itu, kejayaan mereka diperingkat senior adalah hasil kerjasama semua pihak dari awal pembabitan mereka dalam bolasepak termasuk ibubapa.

Nasihat saya kepada pemain-pemain muda skuad belia, ingatlah bahawa anda merupakan antara pemain yang terbaik dipilih. Jangan sia-siakan bakat dan potensi anda.

Daripada ribuan pemain, anda merupakan 30 pemain yang terpilih dan ini merupakan peluang anda untuk memberikan yang terbaik.

Perkara ini tidak akan datang selalu dalam hidup anda.

Sebagai jurulatih, selain mengajar dan mendidik ilmu bolasepak moden, kami ini umpama memberi ‘platform’ untuk meraka menunjukan komitmen dalam meningkatkan kualiti permainan yang ada dalam diri mereka ke tahap lebih tinggi.

Tetapi, untuk menjadi yang terbaik, segalanya terpulang kepada diri anda sendiri.

Letak matlamat yang jelas. Tiada yang mustahil jika suatu hari nanti anda dipanggil beraksi untuk pasukan kebangsaan atau kelab di luar negara.

Jadi, gunakanlah peluang ini dengan sebaiknya dan sentiasa memberikan yang terbaik dalam latihan latihan dan perlawanan.

Jika Syahmi Safari yang baru berumur 19 tahun itu sudah bermain bersama pasukan utama dan negara, mengapa tidak anda?

Coach Zaidi

Seorang jurulatih, bapa kepada tiga anak dan pernah beraksi sepasukan bersama Zainal Abidin Hassan.