Wajah Bola Selangor: Faiz Ruslan

Wajah Bola Selangor: Faiz Ruslan

Wajah Bola Selangor merupakan koleksi temubual dan kisah-kisah individu yang dirakamkan dari padang, stadium, bandar, lebuh dan jalanan, bagi membawa di sebalik tabir kehidupan mereka yang merupakan sebahagian daripada dunia bola sepak Selangor.

——–

Nama penuh saya adalah Faiz Ruslan. Lahir di Hospital Kuala Lumpur namun anak jati Selangor.

Lahir pada 2 Disember 1984, kini sudah hampir 35 tahun saya menetap di Selangor, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Perkara menarik mengenai anak lelaki saya adalah nama beliau, Muhammad Farish Hazwan dinamakan khas bersempena nama bekas penyerang Selangor, Hazwan Bakri.

Hazwan berjaya menjaringkan satu gol dalam perlawanan akhir Piala Malaysia yang diadakan pada 30 Oktober 2016 yang juga merupakan tarikh lahir anak lelaki saya.

Ramai yang tidak mengetahui yang sebenarnya saya mempunyai seorang kembar yang bernama Mohd Faiq Ruslan dan beliau adalah abang saya.

Selain itu, saya turut mempunyai sepasang adik perempuan kembar. Boleh dikatakan memang genetik kembar sangat tinggi dalam salasilah keluarga saya.

Saya merupakan graduan Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) dalam jurusan Diploma Teknologi Maklumat, saya pernah berkerja di beberapa tempat sebelum di Selangor.

Selepas tamat pembelajaran, saya pernah bekerja di sebuah bank sebagai seorang Penasihat Pinjaman Peribadi.

Kemudian saya berhijrah ke ASTRO dan bekerja sebagai “Rigger” dan juga jukumera selama lima tahun.

Selepas itu barulah saya mendapat tawaran untuk bekerja di Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada tahun 2015.

Pada mulanya, saya bertugas sebagai penganalisa video dan disitulah bermulanya karier saya bersama skuad Red Giants.

Setelah hampir empat tahun berkhidmat, untuk musim ini saya ditawarkan untuk menjadi “Team Coordinator” bagi pasukan Liga Super.

 

Sebagai “Team Coordinator”, saya merupakan pengantara di antara pihak pengurusan dan juga dan juga pemain serta jurulatih.

Saya juga ditugaskan untuk menyediakan segala keperluan pemain seperti penginapan ketika perlawanan, jersi pemain, uniform jurulatih dan banyak lagi.

Pada waktu pagi selalunya saya akan berada di ofis dan pada waktu petang, saya akan turun ke padang untuk menyertai sesi latihan bagi mendapatkan maklum balas daripada ketua jurulatih sekiranya ada.

Antara pengalaman manis bagi saya sepanjang bekerja di FAS adalah pada waktu ketika Selangor menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2015.

Selain itu terdapat juga beberapa kejuaraan yang telah kami peroleh iaitu Piala Belia, Piala Presiden dan juga naib juara Piala FA pada tahun lalu.

Meskipun banyak tugas yang perlu saya lakukan sebagai “Team Coordinator”, saya sentiasa bersemangat untuk bekerja kerana saya memang sayangkan Selangor dan saya merupakan peminat setia pasukan bola sepak Selangor.

Oleh disebabkan itu, saya amat gembira dengan perubahan yang dilakukan oleh pengurusan baharu yang telah membaikpulih pasukan Selangor dan menjadi lebih teratur.

Ini adalah impian saya semenjak saya mula bekerja di FAS. Saya sentiasa mengharapkan fasiliti yang lebih baik diberikan bukan sahaja kepada pemain, malahan pihak pengurusan.

Akhir kata, dalam hidup ini, kita perlu teruskan beri yang terbaik dalam melakukan kerja.

Pedulikan apa yang sering orang katakan. Pedulikan dengan apa kebencian yang dilontarkan kepada kita.

Apa yang penting, kita laksanakan tugasan kita dengan sebaiknya.

 

FAIZ RUSLAN

Seorang team coordinator dan mempunyai kembar seiras yang sukar untuk dibezakan.