Wajah Bola Selangor: Rusdi Suparman (Part 1)

Wajah Bola Selangor: Rusdi Suparman (Part 1)

Wajah Bola Selangor merupakan koleksi temubual dan kisah-kisah individu yang dirakamkan dari padang, stadium, bandar, lebuh dan jalanan, bagi membawa di sebalik tabir kehidupan mereka yang merupakan sebahagian daripada dunia bola sepak Selangor.

________

Sebagai seorang budak lelaki yang membesar di Selayang, Batu Caves, di kawasan perumahan saya masa itu ada sebuah padang dan di situlah saya banyak menghabiskan masa saya selepas balik sekolah.

Kehidupan di kawasan perumahan saya pula pada masa itu, sememangnya berunsurkan bola sepak. Main petang-petang bola sepak, ke mana sahaja bola sepak, boleh dikatakan pada zaman remaja saya, bola sepak itu nombor satu.

Semasa sekolah rendah, jadual persekolahan bermula petang. Jadi saya dan rakan-rakan akan bermain bola seawal-awal pagi lagi, lepas habis mengaji, terus main bola sampailah dengar bunyi letupan di Batu Caves.

Satu perkara yang sinonim dengan Batu Caves sekitar tahun 80an, pada masa itu setiap hari pukul 11 pagi akan ada satu letupan lombong batu kapur. Letupan itu menjadi petanda buat saya dan rakan-rakan yang  kami perlu berhenti main bola, pulang ke rumah dan bersiap untuk ke sekolah.

Di sekolah pula, daripada sekolah rendah lagi, aktiviti di sekolah, semua sukan di sekolah, semua saya main. Tak kisah lah, bola sepak, takraw, badminton, hoki, ping pong, semua aktiviti yang ada pertandingan di sekolah, semua saya masuk dan sertai.

Melainkan ada pertandingan yang tarikhnya bertindih, jadi saya terpaksa buat pilihan. Selalunya antara ping pong dan takraw, sebab ping pong pun saya turut mewakili sekolah cuma kadang-kadang apabila dua pertandingan yang berbeza berlangsung serentak, saya terpaksa untuk buat pilihan dan beri perhatian kepada satu sukan sahaja.

Kalau hendak diikutkan, dalam banyak-banyak aktiviti sukan lain-lain yang saya mewakili sekolah, daerah, sukan yang saya bermain hingga peringkat tertinggi sekali, iaitu sehingga mewakili negeri Selangor sejak daripada bawah 12 tahun lagi adalah hoki. Hoki sahaja yang saya dapat mewakil Selangor semasa bersekolah ke kejohanan peringkat MSSM.

Bila saya masuk ke sekolah menengah pula, setiap pelajar hanya dibenarkan untuk fokus kepada satu aktiviti sukan sahaja untuk mewakili sekolah. Jadi masa itu, saya terpaksa memilih hoki sebab saya dah berada di satu tahap yang agak tinggi bagi peringkat sekolah bermain hingga peringkat negeri. Semasa saya tingkatan satu, saya sudah dapat mewakili sekolah untuk pertandingan hoki bawah 15 tahun.

Dalam daerah Gombak pada masa itu, pasukan hoki bawah 15 tahun yang hebat adalah Sekolah Taman Ehsan dan Selayang Baru. Saya ingat lagi Shahril Arsat pun sebenarnya ada dalam pasukan hoki Taman Ehsan.

Tetapi dalam masa yang sama, sudah menjadi lumrah kebiasaan bagi budak lelaki, kalau tahu petang ada latihan bola sepak, bab-bab belajar, akademi, perkara-perkara lain akan jadi perkara kedua.

Kalau boleh minta izin keluar kelas untuk sertai latihan bola sepak, saya akan cepat beritahu cikgu yang saya terpaksa keluar awal hendak sertai sesi latihan untuk sekolah, walaupun masa itu saya sebenarnya wakil sekolah untuk hoki.

Saya masih ingat lagi semasa saya di tingkatan dua, bola sepak bawah 15 tahun selalu ada sesi latihan waktu petang, dan rata-rata pelajar yang dapat mewakili bawah 15 tahun pada masa itu kebanyakkannya pelajar tingkatan tiga atau sedikit pelajar tingkatan dua, dan yang benar-benar gifted dari tingkatan satu sahaja dapat sertai kumpulan ini. Tetapi saya pula, cuma kerap keluar kelas untuk sertai latihan ini hanya untuk bermain bola sepak.

Kalau ikutkan sejarah saya, saya tidak pernah mewakili sekolah untuk sukan bola sepak. Pada masa itu ada kejohanan Piala Rahman, Piala Razak untuk bawah 18 tahun sebelum Piala Presiden.

Saya lebih banyak mewakili Selangor dalam sukan hoki dari bawah 12 tahun, bawah 15 sehinggalah bawah 17 tahun dan saya tidak pernah sekali pun mewakili negeri Selangor dalam bola sepak semasa di sekolah dalam Piala Rahman ataupun Piala Razak.

Jurulatih hoki saya pada masa itu adalah Karam Singh Walia, yang kini dikenali sebagai wartawan tersohor, tetapi semasa beliau menjadi jurulatih kami, beliau masih lagi seorang cikgu. Kami berlatih di bawah Karam Singh Walia sejak daripada pasukan bawah 15 tahun, selama 3 tahun untuk Selangor.

Meskipun begitu, jiwa saya sebenarnya bukanlah dengan hoki. Saya lebih cenderung kepada bola sepak. Balik rumah sahaja, mesti hendak main bola sepak.

Kawan rapat saya semasa sekolah pada masa itu, Azlisham. Dulu Azlisham dan Shahril Arsat antara orang yang saya kenal bermain untuk Piala Razak. Walaupun ada yang bermain hoki, tetapi seperti Shahril, dan ramai yang lain, kalau diberi peluang untuk mewakili Selangor, mestilah akan pilih sukan bola sepak.

Zaman 80an, kalau datang sekolah pakai baju Selangor, ada tulisan Piala Razak pula di belakang, perasaan itu memang sesuatu yang susah hendak saya gambarkan. Semasa saya di tingkatan tiga, ada senior tingkatan lima di sekolah saya bermain mewakili Selangor untuk Piala Razak. Datang ke sekolah memakai sweater Selangor, baju Selangor Piala Razak, saya yang tengok dari jauh, memang sangat teruja.

Azlisham pula satu sekolah dengan saya. Masa beliau bermain untuk pasukan Kampung Baru dalam Liga Dunhill, Azlisham lah yang banyak beritahu info pemilihan kepada saya. Semasa kami tingkatan lima, sekitar awal tahun 90an, saya masih ingat bagaimana Azlisham ada beritahu saya yang Selangor ada buat sesi pemilihan untuk mencari pemain Selangor dibawa ke SUKMA Sarawak. Di situlah bermulanya, titik permulaan saya dalam bola sepak.

Semasa saya tingkatan lima, saya adalah pelajar jurusan sains tulen. Jadi apabila pergi ke pemilihan SUKMA, saya terpaksa tinggalkan sekolah selama satu bulan setengah untuk sertai latihan pusat di Jalan Road 10 Petaling Jaya, jadi pelajaran hendak hafal formula kimia, terma biologi semuanya, agak ketinggalan.

Cuba bayangkan, latihan petang, habis sekolah pukul 1 tengahari, bergegas balik rumah supaya tak terlepas bas pukul 2 dari Batu Caves ke KL. Dari rumah saya masa itu, kena ambil dua bas hanya untuk sampai ke tempat latihan. Kemudian ambil bas dari KL, kawasan Bangkok Bank masa itu, ke Petaling Jaya. Habis latihan, saya sampai di rumah selalunya lebih kurang pukul 9.30 malam. Memang tiada masa untuk kerja sekolah.

Dan, apa yang saya selalu buat, saya terpaksa pergi sekolah lebih awal dari orang lain, minta nota pelajar lain dan siapkan kerja sekolah cepat-cepat sebelum kelas bermula di awal-awal pagi lagi.

Begitulah keadaan saya semasa terikat dengan jadual kem latihan dan bersekolah. Kadang-kadang terpaksa curi masa untuk balik ke sekolah dari kem latihan pusat di Kuala Kubu Bharu untuk ujian lisan Bahasa Melayu dan bermacam-macam lagi pengorbanan dan susah payah yang perlu saya lalui ketika mengimbangi di antara pelajaran dan sukan ketika itu.

Semasa saya mula-mula mewakili Selangor untuk SUKMA, usia saya 17 tahun, dan penolong jurulatih pada masa itu adalah, K. Rajagobal. Antara pengalaman yang saya masih ingat, kejohanan berlangsung di Sarawak, tetapi perkara yang saya paling teruja sebaliknya adalah pertama kali perasaan hendak menaiki kapal terbang. Inilah peluang saya kerap saya bisik di dalam hati.

Sebenarnya, pada kejohanan seperti SUKMA itu jugalah jurulatih-jurulatih membuat perbandingan diantara pemain muda yang baru dengan pemain-pemain yang sudah lama berada di dalam skuad Selangor. Dari situlah bakat saya mula digilap, ditonjolkan dan diberi peluang yang akhirnya, mencorakkan sejarah saya di dalam kancah bola sepak ini.

Selepas balik dari SUKMA, saya mula mendapat peluang untuk bermain dengan pasukan yang lebih senior. Saya pernah bermain untuk skuad Belia Sinaran yang pada masa itu bertanding di Liga Dunhill. Itulah satu-satunya kelab senior yang pertama sekali saya wakili.

Masa itu, yang bermain Liga Dunhill adalah pasukan-pasukan seperti Public Bank dan sebagainya. Jika ada yang masih ingat, Dr Nordin Selat yang merupakan salah seorang pengarah Public Bank, dan juga pengurus pasukan Selangor, banyak membawa pemain-pemain Selangor seperti Karel Stromsik, Zainal Abidin, Dollah Saleh, K. Gunalan, semua bermain untuk Public Bank.

Dulu tahun 90an, Liga Dunhill memang meriah. Ramai penonton dan penyokong sama hebat seperti menonton perlawanan Selangor. Sebelum liga di Malaysia dinaiktaraf menjadi full-pro, ramai pemain Selangor juga yang bekerja untuk Public Bank dan sebagainya semasa masih di semi-pro.

Tidak dapat saya lupakan semasa kami Belia Sinaran berjumpa dengan Public Bank, dan masa itu usia saya baru 17, 18 tahun. Bermain di tahap itu, pada usia muda sebegitu, dengan pemain-pemain bertaraf lebih tinggi, memang satu pengalaman yang banyak memberikan impak dalam kerjaya bola sepak saya.

Belia Sinaran masa itu berlatih di Universiti Malaya dekat arena di dalam universiti. Seperti biasa dari rumah, saya perlu ambil dua bas untuk sampai ke UM dan bas hanya akan berhenti di pintu utama. Kemudian, saya perlu berjalan dari luar, hinggalah ke dalam kawasan latihan. Sesiapa yang pernah pergi Universiti Malaya pasti tahu bagaimana jarak dari pintu utama ke kawasan padang.

Disebabkan saya pemain junior, jadi sesi latihan kami hanya ada lapan atau sembilan orang. Tetapi bila ada perlawanan, baru ramai yang datang, dan pemain-pemain senior pula yang akan dapat kesebelasan utama. Begitulah semasa saya mula mengorak langkah dalam dunia bola sepak senior. Sebelum balik, boss akan bagi RM10 sebagai elaun satu hari. RM10 itulah elaun saya, berulang-alik, berpenat lelah, tetapi bagi saya, demi bola sepak, kerana wang bukanlah ukuran utama saya.

Selepas daripada SUKMA, saya juga mula kenal lebih rapat dengan jurulatih Datuk K. Rajagobal. Sesudah tamat SPM, selepas skuad SUKMA dan Belia Sinaran, saya pernah pergi berjumpa dengan beliau meminta untuk diberi peluang sekiranya ada mana-mana pasukan yang perlukan khidmat pemain kerana kalau diikutkan hati, memang saya kalau boleh hendak bermain bola sepak setiap hari, setiap masa.

Atas cadangan Datuk K. Rajagobal lah, saya dapat peluang untuk bermain mewakili PKNS di Liga Dunhill dan dapat bersama-sama dengan mereka daripada bawah, sehinggalah melayakkan diri bermain di peringkat Liga Perdana. Semasa berada di PKNS, ianya adalah satu perjalanan yang penuh memori dengan cerita naik turun karier saya yang tersendiri di PKNS yang kalau hendak dikongsikan di sini, memang tidak akan habis perkongsian saya di sini.

PKNS pada masa itu memang banyak memberi peluang kepada pemain-pemain Piala Presiden untuk meneruskan karier mereka di dalam bola sepak dengan mewakili pasukan itu di Liga Dunhill atau hari ini Liga FAS, disamping bekerja dengan syarikat atau anak syarikat mereka.

Meskipun begitu, ianya bukanlah semudah yang disangka. Kami masih lagi perlu melalui sesi pemilihan. Contoh macam saya, semasa saya dapat panggilan, mereka panggil saya untuk berjumpa dengan Encik Lan, dan menilai permainan saya dalam perlawanan-perlawanan persahabatan sebelum membuat keputusan untuk serap masuk ke dalam pasukan.

Alhamdulillah, selepas terpilih, saya terus ditawarkan kerja sebagai admin di dalam anak syarikat PKNS sambil bermain bola. Ketika itu saya rasa sangat bertuah kerana pegawai saya yang merupakan pengurus besar di dalam syarikat saya bekerja, juga adalah merupakan pengurus pasukan bola sepak PKNS. Beliau telah banyak memudahkan urusan saya di antara syarikat dengan pasukan bola sepak dari segi perlepasan dan sebagainya.

Saya bersama dengan PKNS sekitar tahun 1991 hingga 1993 sebelum liga full pro. Selain daripada Liga Dunhill, kami juga bertanding di Liga FAM yang pada masa itu bermain dengan format kalah mati.

Pada masa itu, pasukan utama Selangor juga berlatih di padang PKNS. Jadi apabila skuad utama Selangor berlatih, kami PKNS akan berlatih di tepi menggunakan padang B atau C dan beri ruang pada skuad Selangor gunakan padang utama.

Secara kebetulan pada tahun itu, kejohanan Piala Emas Raja-Raja dianjurkan. Selangor dan PKNS yang memang di bawah satu rumpun, kebetulan pula tidak cukup penyerang dan beberapa pemain posisi lain jadi mereka pinjam beberapa orang pemain dari PKNS termasuklah saya.

Bagi saya, saya hanya mahu main permainan biasa saya. Setiap kali dapat bola, dribble, shoot, masuk. Dribble, shoot, masuk. Saya tidak menjangkakan atau mengharapkan apa-apa yang lebih dari situ melainkan hanya untuk bermain dan menikmati bola sepak.

Habis sahaja sesi, selalunya saya terus balik tetapi pada hari itu, mereka minta untuk saya tunggu sekejap. Dan itu, sebenarnya penanda yang saya sudah terpilih untuk bermain di Piala Emas Raja-Raja.

Kami bermain dalam format karnival. Selepas habis kejohanan, maka tamatlah tanggungjawab saya untuk Selangor.

Kemudian pada tahun 1992, Selangor ada buat satu sesi pemilihan terbuka. Pengurus pasukan pada masa itu, Datuk Mazlan Harun dah jurulatih pula Datuk M. Chandran.

Saya hadir, terpilih, dan bersama bersama saya masa itu, K. Ramalingam, arwah Razali Alias, A. Jayakanthan, dan ramai lagi. Teringatkan pramusim kami di Perth, Australia, menggamit seribu kenangan buat saya.

Tahun seterusnya kami berangkat ke SUKMA di Johor. Selangor mendapat tempat ketiga. Sejurus selepas kami balik dari SUKMA, pengarah teknikal Selangor pada ketika itu Ken Shellito, bawa kami beberapa pemain muda untuk sertai sekitar 4 atau 5 latihan perlawanan skuad utama sebelum musim tamat bagi melengkapkan jadual.

Kemudian datang Datuk Mohd Aini Taib mengambil alih tempat sebagai pengurus pasukan. Kontrak pemain-pemain muda yang ada di dalam skuad pada masa itu diteruskan di bawah arahan beliau. Maka dari situlah bermulanya, saya terus bersama pasukan utama Selangor sehinggalah sepanjang sejarah karier saya bersama pasukan Merah Kuning.

Waktu itu, meskipun saya berlatih bersama skuad senior, saya masih akan bermain untuk skuad Piala Presiden sebab saya masih muda sekitar 19 tahun, 20 tahun. Biarpun untuk skuad utama saya bukanlah dalam kesebelasan utama, tetapi apa yang mengujakan saya dan terus membakar semangat saya, nama Rusdi Suparman pasti ada dalam senarai 18 pemain.

Selepas beberapa persembahan saya di Piala Presiden dan saingan liga skuad senior, saya kemudian dipanggil untuk mewakili skuad kebangsaan ke temasya sukan olimpik. Saya masih ingat bagaimana saya dipilih bukan untuk sesi latihan, tetapi untuk terus menyertai skuad di Perancis.

Saya dan beberapa pemain lain yang datang kemudian seperti Shamsul Saad menyertai kem latihan skuad kebangsaan di Auxerre, Avignon, dan Lyon. Di sana kami sempat berlatih dengan pemain-pemain peringkat antarabangsa selama hampir sebulan.

Padahal kalau hendak diikutkan, sebelum itu, saya selalu bertanya kepada diri sendiri, bilakah agaknya saya nak masuk FAM. Saya selalu bertekad satu hari nanti saya hendak juga rasa keadaan berlatih di FAM, hendak rasa sendiri bagaimana perasaan bila naik bas FAM, macam mana keadaan di dalam bilik persalinan FAM.

Saya selalu tertanya-tanya. Bagaimana kalau dapat main untuk Malaysia, yang pada masa itu dibarisi dengan pemain seperti Dollah Salleh, Zainal Abidin dan ramai lagi.

Alhamdulillah doa saya termakbul. Akhirnya saya dapat bersama skuad kebangsaan, merasai sendiri impian saya bersama FAM selama dua tahun melalui skuad yang bertanding temasya olimpik pada masa itu.

Di bawah Claude Le Roy yang mengemudi skuad kebangsaan, kami sempat bermain dalam perlawanan bersama Angola, England, Brazil. Barisan pemain England ketika itu yang bermain juga antara yang sudah menjadi lagenda hari ini seperti David Beckham dan rakan-rakan batch yang bersama dengannya.

Kalau hendak disebutkan pemain yang hebat yang pernah saya main bersama, susah sebab ramai pemain-pemain yang hebat. Tetapi kalau pairing dengan saya yang terbaik di bahagian serangan bagi saya adalah, semasa di Selangor, Yusri Che Lah dan Nizarrudin.

Apa yang buat persefahaman saya dengan mereka ini bagus, di atas padang, kita tak perlu cakap, hanya pandang sahaja, dia dah tahu ke mana kita hendak lari, kmana patut hantaran dibuat, hingga tidak perlu minta bola.

Saya lari sahaja, bola sampai, saya lari sahaja bola sampai. Persefahaman kami di atas padang begitu kuat sekali.

Namun sebagai penyerang, jangka hayat permainan saya tidaklah begitu panjang seperti penjaga gol, pemain pertahanan. Ketika saya sedar sudah sampai masanya bagi mengundur diri, saya berumur 33 atau 34 tahun dan di atas faktor-faktor kecederaan yang berpanjangan dan beberapa faktor lain saya memilih untuk berhijrah.

Berbekalkan perasaan cinta yang mendalam terhadap sukan bola sepak ini, yang sudah menjadi sebati dan sebahagian besar dari hidup saya, bila tamat karier sebagai pemain, saya terus melibatkan diri dalam bidang kejurulatihan.

Pernah juga, saya rasa, ketika di penghujung karier saya bermain bola sepak, saya rasa sedih, terkilan, seperti tidak dikenang kerana kita sebagai pemain sudah berikan segalanya kepada pasukan, satu hari kita tetap akan terpaksa digantikan. Namun, yang menguatkan saya, selalu saya beritahu diri saya, sudah sampai masanya. Beri ruang pada pemain muda.

Sepanjang karier saya, Alhamdulillah, semua piala di Malaysia saya sempat julang dan rasai penat lelah perjuangannya. Piala Emas Raja-Raja, Liga, Piala Malaysia, Piala FA, Piala Sumbangsih, dan saya pernah dianugerahkan sebagai Penjaring Terbanyak Tahun 1999.

Dalam banyak-banyak itu bagi saya, kejuaraan yang paling manis adalah kemenangan Piala Malaysia tahun 1995.

Disebabkan kemarau 10 tahun Selangor tidak merasai Piala Malaysia, saya yang pada masa itu baru berusia 22 tahun, dapat membantu Selangor menjulang kejuaraan itu dan pada usia semuda itu sudah dapat merasai sendiri bagaimana kemeriahan, perasaan menjulang piala yang penuh berprestij, sememangnya sesuatu yang sangat manis buat saya.

 

Rusdi Suparman,

Lagenda Bola Sepak Selangor, Penjaring Terbanyak 1999, Antara 10 Penjaring Terbanyak Selangor Sepanjang Zaman, Antara 10 Pemain Penampilan Terbanyak Selangor Sepanjang Zaman, Penolong Ketua Jurulatih FA Selangor

 

Baca kisah Wajah Bola Selangor sebelum ini:

Wajah Bola Selangor – Khairulanwar Isa