Wajah Bola Selangor: Seerla Ramanarajoo (Ram)

Wajah Bola Selangor: Seerla Ramanarajoo (Ram)

Wajah Bola Selangor merupakan koleksi temubual dan kisah-kisah individu yang dirakamkan dari padang, stadium, bandar, lebuh dan jalanan, bagi membawa di sebalik tabir kehidupan mereka yang merupakan sebahagian daripada dunia bola sepak Selangor.

 

—————

 

Nama saya Seerla Ramanarajoo. Berasal daripada Lahad Datu Sabah dan lahir pada 26 April 1983. Berumur 36, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berumur dua tahun.

Saya merupakan pelajar jurusan perubatan di Russia namun atas faktor kewangan, saya terpaksa berhenti dan pulang ke Malaysia.

Sekembalinya saya ke tanah air, saya menyambung pelajaran dalam jurusan fisioterapi di MAHSA University di Malaysia.

Kenapa fisioterapi? Kenapa saya tidak meneruskan pembelajaran saya dalam jurusan perubatan seperti sebelum ini?

Sebabnya mudah. Saya ingin menolong pesakit untuk kembali berjalan seperti normal, membantu mereka berdiri di atas kaki mereka kembali seperti dahulu.

Sewaktu saya masih lagi belajar pada tahun 2007, saya diberi peluang untuk melakukan latihan industri di Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bermula daripada situ, minat saya dalam bidang bola sepak mula menebal , membuatkan saya nampak masa depan saya sebagai ahli fisioterapi untuk sukan ini.

Pada awal karier saya, saya mula bertugas sebagai General Physio di sebuah hospital yang beroperasi di Lembah Klang selama dua tahun.

Selepas itu, saya mula menyertai FAM pada tahun 2010 dan saya ditugaskan untuk berkhidmat bagi pasukan yang berumur 23 tahun ke bawah.

Lima tahun selepas itu, saya menerima tawaran untuk menjadi fisio pasukan bola sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bersama pasukan ATM, disitulah bermulanya karier saya sebagai fisio pasukan senior yang sebenarnya kerjaya yang sudah lama saya idamkan.

Di Selangor, saya merupakan ketua fisioterapi di mana saya akan memastikan pemain-pemain yang mengalami kecederaan kembali pulih seperti biasa untuk menghadapi perlawanan.

Saya sentiasa datang awal untuk memeriksa pemain-pemain sebelum mereka masuk padang untuk sesi latihan.

Sekiranya mereka tidak sihat atau pun masih lagi belum pulih sepenuhnya untuk berlatih bersama pasukan utama, mereka akan maklumkannya kepada saya.

Selain itu, saya juga akan sentiasa melaporkan secara terus kepada ketua jurulatih, B. Satiananthan mengenai keadaan atau pun kecerdasan pemain.

Ini sangat penting kerana ketua jurulatih perlu mendapat info yang selengkapnya mengenai kondisi dan keadaan pemain untuk persiapan beliau bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

Saya juga ditugaskan untuk memastikan pemain yang cedera menjalani proses pemulihan dengan betul.

Selalunya saya akan melakukan sesi pemulihan dua jam awal sebelum sesi latihan bermula untuk memastikan kecerdasan pemain berada di taraf yang sepatutnya.

Tugasan saya sangat berkait rapat dengan Team Doctor iaitu Dr. Wazien Wafa kerana kami berdualah orang yang akan menentukan sama ada pemain itu boleh turun beraksi atau pun tidak.

Cabaran terbesar dalam bidang fisioterapi sukan khususnya sukan bola sepak adalah untuk sentiasa memenuhi kehendak ketua jurulatih.

Contohnya pemain itu telah disahkan mengalami kecederaan dan tidak dapat beraksi selama empat minggu, namun ketua jurulatih mahukan menggunakan pemain itu dalam masa kurang daripada empat minggu, saya perlu sedaya upaya saya untuk melaksanakannya.

Apa yang perlu saya buat untuk memenuhi tuntutan ketua jurulatih? Saya ada cara saya tersendiri dan ia adalah rahsia saya.

Antara peristiwa yang paling saya banggakan dan tidak boleh saya lupakan adalah pada ketika ketua jurulatih pasukan kebangsaan bawah 19, Aminuddin Hussin memuji hasil kerja saya sewaktu sesi wawancara media.

Ketika itu kami baru sahaja menewaskan Laos 4-0 dan Aminuddin menyatakan rasa terima kasih secara khususnya kepada saya kerana dengan kerja keras saya, pemain utama beliau dapat diturunkan dalam perlawanan tersebut.

 

Pada masa lapang saya, hobi saya adalah untuk bermain gitar, menyanyi dan mengetuk Cajon Box saya kerana saya sukakan muzik.

Saya mempunyai satu gitar eletrik, satu gitar akustik dan juga sebiji Cajon Box.

Manakala kenangan manis dalam hidup saya adalah pada ketika saya berkahwin dan saya menimang cahaya mata.

Mengendong bayi saya, Rhea Seerla but kali yang pertama adalah satu kenangan yang paling indah buat saya.

Bila bercakap mengenai impian, salah satu impian yang saya paling teringin untuk kecapi adalah membayar semula pengorbanan ibu bapa saya yang sebelum ini tanpa mengenal penat lelah untuk membesarkan saya.

Bagi saya, ibu bapa saya adalah segalanya dan sudah banyak mereka korbankan untuk saya. Saya ingin membalas jasa mereka pada suatu hari nanti.

Setiap orang akan pergi buat selamanya pada satu hari nanti. Jadi saya berharap saya sempat untuk membalas budi mereka sebelum mereka pergi.

Ibu bapa saya adalah yang terbaik bagi saya.

 

 

Seerla Ramanarajoo

Ketua fisio Selangor FA, bapa kepada Rhea Seerla dan anak yang penyayang.