Wajah Bola Selangor: Shanthi A/P Sathasivam

Wajah Bola Selangor: Shanthi A/P Sathasivam

Wajah Bola Selangor merupakan koleksi temubual dan kisah-kisah individu yang dirakamkan dari padang, stadium, bandar, lebuh dan jalanan, bagi membawa di sebalik tabir kehidupan mereka yang merupakan sebahagian daripada dunia bola sepak Selangor.
——–
Nama saya Shanthi A/P Sathasivam. Dilahirkan di Klang pada 2 Mei 1967.

Merupakan anak sulung daripada tiga beradik, saya kini telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak.

Kedua-dua mereka merupakan tunjang belakang saya yang sentiasa menyokong saya ketika suka dan duka dan sudah semestinya mereka merupakan penyokong tegar Selangor.

Saya memang peminat bola sepak. Pemain tempatan yang saya minati adalah mendiang Datuk R. Arumugam atau lebih dikenali sebagai Spiderman.

Beliau merupakan lagenda bola sepak negara yang juga turut berada di dalam skuad kebangsaan yang menewaskan Korea Selatan 2-1 pada 1980 sekaligus menempah tiket ke Olimpik Rusia.

Manakala bagi pemain luar negara, saya mengagumi Lionel Messi dan sudah pasti Argentina merupakan pasukan kegemaran.

Bercakap mengenai latar belakang pendidikan saya pula, saya mempunyai kelulusan dalam Diploma dari London Chamber of Commerce (LCCI) serta mempunyai sijil daripada Associations of Chartered Certified Account (ACCA).

Di atas kelulusan saya ini, saya diberi tanggungjawab oleh pihak pengurusan untuk menjaga kewangan FAS dari awal kemasukan saya hingga kini.

Untuk pengetahuan semua, saya merupakan Ketua Kewangan dan Pentadbiran di Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Bermula daripada tahun 1995, kini sudah hampir 25 tahun saya bertugas di FAS dan telah pun melalui sebanyak 10 pentadbiran.

Ramai yang tertanya mengapa saya boleh berada di sebuah institusi atau tempat kerja sebegitu lama.

Ianya mudah sahaja.

Saya memegang satu prinsip di mana saya sentiasa komited dengan apa yang saya lakukan dan dalam konteks ini, saya sentiada komited dalam kerja saya.

Bak kata pepatah orang Inggeris, “my work is my passion’.

Oleh disebabkan itu, saya mampu bertahan untuk berada sekian lama di FAS dan sentiasa memberikan yang terbaik.

Kini FAS sudah berubah dan kami juga telah berpindah ke bangunan pejabat yang baru dari Kelana Jaya ke Shah Alam.

Bagi saya, perpindahan ke Shah Alam telah memberikan satu pengalaman yang baru dan kita boleh lihat yang pihak pengurusan yang baharu ini lebih serius dalam melakukan perubahan yang bakal membawa kejayaan.

Yang terakhir, saya mendoakan supaya skuad Selangor semakin maju kehadapan dan kembali menjadi gergasi bola sepak Malaysia dan mungkin suatu hari nanti, menjadi gergasi Asia.