Wajah Bola Selangor : Syed Mohd Wazien Wafa

Wajah Bola Selangor : Syed Mohd Wazien Wafa

Wajah Bola Selangor merupakan koleksi temubual dan kisah-kisah individu yang dirakamkan dari padang, stadium, bandar, lebuh dan jalanan, bagi membawa di sebalik tabir kehidupan mereka yang merupakan sebahagian daripada dunia bola sepak Selangor.

——–

Nama saya Syed Mohd Wazien B Saadun Tarek Wafa tapi lebih mesra dipanggil Wazien. Saya kini bertugas di Hospital Sains Universiti Malaysia.

Saya juga sedang melanjutkan pelajaran dalam jurusan Sarjana Perubatan Kecemasan dan kini berada di tahun ketiga pembelajaran.

Namun sebelum ini saya merupakan pelajar di Melaka Manipal Medical College dan menjalani twinning program” jadi pada dua tahun pertama pembelajaran saya, saya berada di India.

Saya merupakan anak ketiga daripada empat orang adik beradik.

Di Selangor saya merupakan “Team Doctor” untuk pasukan Liga Super di mana saya menjaga pemain-pemain terutamanya sewaktu hari perlawanan dan juga menyediakan konsultansi bagi pemain sepanjang liga berjalan.

Saya juga berkerja rapat dengan fisio pasukan iaitu Seerla Ramanarajo ataupun Ram bagi memastikan kecergasan pemain berada di tahap yang optimum.

Ini merupakan kali pertama saya menyertai Persatuan Bolasepak Selangor namun sebelum ini saya pernah berkerjasama dengan Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidun bagi program Selangor Champions League.

Apabila Dr Johan ingin membawa perubahan baru dalam FAS, di situ saya berminat untuk menyertai beliau dan mula berkhidmat untuk pasukan Selangor.

 

Selain tugas hakiki di Universiti Sains Malaysia serta FAS, saya juga terlibat secara aktif dengan Kesatuan Ragbi Malaysia (Malaysia Ruby Union).

Jadi selain daripada FAS, saya juga merupakan ”Tournament Doctor” kepada pasukan ragbi Malaysia dan juga tenaga pengajar untuk World Rugby.

Selalunya aspek sains sukan dan perubatan dalam bola sepak ini jarang diambil berat terutamanya dalam kancah bola sepak Malaysia.

Jadi apabila Dr Johan berbincang dengan saya mengenai perkara ini dan ingin mengubahnya, ianya menyebabkan saya terus bersetuju dan ianya membuatkan saya menukar angin daripada ragbi ke bola sepak.

 

Dalam kehidupan saya, perkara yang paling manis yang saya takkan lupakan adalah sewaktu saya menjadi “Tournament Medical Director” bagi kejohanan ragbi di peringkat Asia.

Antaranya adalah Kejohanan Trofi Ragbi 7 Wanita Asia pada tahun lalu di Brunei dan juga Kejohanan Ragbi Asia yang baru sahaja berlangsung baru-baru ini di Stadium Bukit Jalil.

Selain itu, saya juga merupakan “Team Doctor” termuda bagi Liga Super musim ini kerana rata-rata “Team Doctor” pasukan lain adalah doktor senior.

Bercakap mengenai impian pula, saya ingin menjadi salah satu perintis dalam bidang kecemasan sukan di Malaysia.

Di Malaysia. kita ada bidang perubatan sukan, perubatan kecemasan namun kita mendalami ilmu kecemasan sukan.

Bidang kecemasan sukan ini masih lagi baru di Malaysia namun pasukan di Eropah serta USA sudah lama menggunakannya.

Kenapa saya suka dengan bidang perubatan? Ianya adalah kerana apabila saya membantu orang, saya rasa sangat berpuas hati.

Selain itu saya juga memegang satu ayat al-quran ini daripada surah An-nisa ayat 32 yang berbunyi, “bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. ”

Jadi daripada situ saya mula mendekati bidang perubatan dan membantu yang lain kerana bagi saya, jika saya tolong orang lain, orang lain akan menolong saya semula.

Yang terakhir, nasihat saya kepada doktor muda di luar sana, teruskan usaha anda dan teruskan apa yang anda sedang lakukan sekarang ini dan jangan malu untuk mengaku yang kamu tidak tahu mengenai sesuatu perkara.

Kerana ilmu adalah luas dan adan sentiasa ada peluang untuk memperolehnya. Bak kata pepatah, di mana ada jalan, di situ ada kemahuan.