Wajah Bola Selangor: Uncle Mogan

Wajah Bola Selangor: Uncle Mogan

Wajah Bola Selangor merupakan koleksi temubual dan kisah-kisah individu yang dirakamkan dari padang, stadium, bandar, lebuh dan jalanan, bagi membawa di sebalik tabir kehidupan mereka yang merupakan sebahagian daripada dunia bola sepak Selangor.
____________________

Nama saya B. Amarasingam. Tapi di FA Selangor, saya lebih mesra disapa dengan nama Uncle Mogan.

Saya dilahirkan dan dibesarkan di Batu Caves Selangor.

Saya lahir lima bulan sebelum Malaysia mendapat kemerdekaan iaitu 6 Mac 1957.

Saya sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Seorang lelaki dan seorang perempuan.

 

Anak perempuan saya sudah berkahwin manakala anak lelaki saya masih lagi bujang.

Saya ini anak bongsu daripada tujuh orang adik beradik.

Sewaktu kecil dulu saya sangat suka berkawan.

Balik sahaja daripada sekolah, saya akan terus ke rumah kawan-kawan untuk bermain.

 

Kadang-kadang kami mandi air terjun, mandi air kolam panas dan juga bermain bola sepak.

Terlalu banyak kenangan manis untuk saya kongsikan sewaktu saya kecil dan sukar untuk saya lupakan.

Saya bukanlah berasal daripada keluarga yang senang jadi selepas sahaja tamat persekolahan, saya terus ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan.

Pekerjaan pertama saya adalah menjadi pembancuh air di salah sebuah restoran di Kuala Lumpur.

Tidak lama selepas itu, saya berkerja sebagai pekerja kilang.

Kemudian saya mendapat tawaran bekerja di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sewaktu berumur 21 tahun dan saya berkerja di situ sehinggalah saya bersara.

 

Apabila saya bersara, saya bertanyakan kepada salah seorang exco FA Selangor pada ketika itu sekiranya ada kerja di Selangor kerana saya tidak suka untuk berehat di rumah tanpa berbuat apa-apa.

Di FA Selangor, sudah hampir enam tahun saya menabur bakti bermula pada tahun 2014.

Saya bertugas sebagai pemotong rumput, menjaga peralatan, membersihkan kawasan dan beberapa kerja lain bersama-sama Wak Qudri.

(Untuk membaca mengenai Wak Qudri, sila klik link ini: https://redgiants.faselangor.my/wajah-bola-selangor-wak/)

Sepanjang bekerja di sini, pemain-pemain Selangor melayan saya dengan begitu baik.

Seringkali bertemu saya, senyuman tidak lekang dari bibir mereka dan sentiasa menanyakan khabar saya.

Saya merupakan seorang yang sangat mementingkan kekemasan.

Kalau di rumah, saya sentiasa akan mengemas jika mempunyai masa lapang.

Selain itu, saya juga suka menanam pokok bunga.

Antara bunga yang saya suka tanam adalah bunga kertas dan juga bunga teratai.

Di dalam kehidupan ini, keluarga adalah perkara yang paling penting bagi saya.

Merekalah yang sentiasa ada di waktu saya jatuh dan bangun dan sentiasa memberikan semangat untuk saya meneruskan hidup.

Yang terakhir daripada saya, ingin saya memberikan sedikit nasihat kepada pembaca diluar sana.

Sekiranya anda melakukan sesuatu, haruslah anda memberikan seratus peratus fokus ke atas kerja tersebut.

Jangan main-main dan lakukanlah tugasan tersebut dengan sebaiknya.

 

Uncle Mogan

Rakan Sekerja Wak Qudri, Penggemar Pokok Bunga dan Bapa Penyayang.