WAJAH BOLA SELANGOR: WAK QUDRI

WAJAH BOLA SELANGOR: WAK QUDRI

Wajah Bola Selangor merupakan koleksi temubual dan kisah-kisah individu yang dirakamkan dari padang, stadium, bandar, lebuh dan jalanan, bagi membawa di sebalik tabir kehidupan mereka yang merupakan sebahagian daripada dunia bola sepak Selangor.
____________________

Nama saya Ahmad Qudri Bin Sajol namun di sini, saya lebih mesra disapa dengan nama Wak.

Saya berasal daripada Gresik, Indonesia.

Saya sudah menetap di Malaysia dan bekerja di Kompleks Sukan SUK serta hampir 11 tahun.

Di Malaysia, saya mempunyai beberapa keluarga di Kota Kemuning dan juga Chow Kit.

Lahir pada tahun 1967, saya kini berumur 52 dan bekerja sebagai Penyelanggara Padang di Pusat Latihan FA Selangor.

Setiap hari, tugas saya adalah memotong rumput, membaja, menyelenggara mesin rumput, membuat garisan, menabur pasir dan membersihkan longkang.

Mudah kata, segala kerja yang melibatkan padang di SUK ini, saya yang akan selesaikan.

Selama saya bekerja bersama Selangor, ramai pemain yang telah datang dan pergi dan ada juga yang masih di sini seperti Amri Yahyah.

Amri yang merupakan kapten selalu menegur saya dan bertanya khabar mengenai saya.

Bekas pemain dan ketua pasukan Selangor, Razman Roslan juga selalu menegur saya.

Ramai orang tanya bagaimana saya boleh bertahan kerja di sini sehingga 11 tahun?

Ini kerana memang minat saya adalah untuk menjaga rumput. Saya memang suka untuk memotong, membaja dan segalanya.

Malahan, boleh dikatakan memotong rumput merupakan salah satu memori indah bagi saya.

Apabila ada masanya mesin rumput mengalami kerosakan, ianya sedikit mengecewakan saya kerana saya tidak boleh melaksanakan tugas saya.

Apabila pengurusan baru mula mengambil alih, saya kini lebih bersemangat untuk bekerja kerana mereka lebih menjaga kebajikan saya.

Gaji kini lebih tetap serta tempat tidur saya kini lebih selesa setelah diubahsuai.

Akhir sekali, syukur kepada Allah kerana memberi saya peluang untuk bekerja di sini dan saya akan hargainya.

 

Wak Qudri

Seorang penyeleggara padang yang ramah.