Wan Zack Haikal Milik Gergasi Merah

Wan Zack Haikal Milik Gergasi Merah

Suka cita diumumkan bahawa Wan Zack Haikal kini sah bergelar pemain FA Selangor.

Kebolehan Wan Zack sebagai seorang pemain yang berkualiti bukanlah lagi menjadi satu tanda tanya kepada mereka yang telah lama mengikuti perkembangan bola sepak di dalam negara ini.

Pemain yang berusia 27 tahun dan berasal dari Pahang ini telah tampil hampir 30 kali untuk pasukan kebangsaan dan telah menjaringkan beberapa gol yang masih menjadi kebanggaan negara hingga hari ini

Wan Zack juga merupakan antara beberapa pemain di negara kita yang mempunyai pengalaman beraksi di liga antarabangsa dan luar negara.

Pemain bahagian tengah ini sentiasa menjadi tunggak utama bagi setiap pasukan yang pernah beliau wakili dan turut bertanggungjawab merancang permainan pasukan-pasukan tersebut.

Meskipun anak kelahiran Pahang, Wan Zack bermula sebagai pemain Piala Presiden bagi Kuala Lumpur pada tahun 2005. Dan, walaupun KL pada masa itu tidak layak ke peringkat akhir, tetapi Wan Zack merangkul Kasut Emas Kejohanan dengan 11 gol pada usia 14 tahun.

Bakat beliau kemudian telah menarik perhatian Reduan Abdullah yang masa itu mula membina skuad Felda United pada tahun pertama kelahiran kelab tersebut. Dalam usia 17 tahun, Wan Zack tampil untuk skuad utama Felda United dalam 6 perlawanan dan telah menjaringkan 2 gol sebelum beliau berhijrah menyertai skuad kendalian Ong Kim Swee, iaitu Harimau Muda.

Wan Zack bersama dengan skuad Harimau Muda telah berjaya merangkul kejuaraan Liga Perdana 2009 sebelum mereka dipisahkan kepada dua pasukan. Wan Zack telah dipilih menyertai pasukan A Harimau Muda, dan di bawah kendalian Azraai Khor, mereka telah menjalani latihan selama 8 bulan di Slovakia.

Beliau kemudian pernah beraksi untuk beberapa pasukan di liga luar negara sebelum kembali menyertai Kelantan FA dan seterusnya kembali ke Felda United untuk terus mewarnai dunia bola sepak tempatan.

Wan Zack juga pernah menerima anugerah Pemain Muda Terbaik FAM 2011, Pemain Paling Bernilai Piala Merdeka 2013, S League Yeos’ People Choice Award 2012, Pemain Muda Terbaik YEO’s 2012, dan tersanarai di dalam Asian Best XI pada tahun 2012 oleh Goal.com

Kehadiran Wan Zack adalah bukti komitmen persatuan untuk menjulang kejuaraan musim hadapan.

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengucapkan selamat datang ke Selangor dan semoga Wan Zack akan dapat bersama-sama mengembalikan kegemilangan Selangor sebagai pasukan yang digeruni dan semakin tajam di tengah padang.

Hantarkan ucapan anda kepada Wan Zack di sosial media dengan menggunakan #WanZackIsRed.